Caruman LINDUNG 24 Jam PERKESO tidak lagi mandatori berkuat kuasa serta-merta
emaah Menteri hari ini memutuskan caruman bagi Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) tidak lagi bersifat mandatori, berkuat kuasa serta-merta.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keputusan berkenaan menyaksikan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja itu kini dilaksanakan secara sukarela.
"Perdana Menteri telah membangkitkan maklum balas yang diterima berhubung pelaksanaan caruman sebanyak 0.75 peratus daripada gaji pekerja bagi LINDUNG 24 Jam bawah PERKESO.
"Justeru, Jemaah Menteri hari ini telah memutuskan bahawa caruman itu tidak lagi bersifat mandatori, sebaliknya dilaksanakan secara sukarela, berkuat kuasa serta-merta.
"Kenyataan lanjut berhubung keputusan ini akan diterbitkan oleh Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," katanya yang juga Menteri Komunikasi, dalam satu kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, media melaporkan lebih sembilan juta pencarum menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) secara automatik dilindungi sepenuhnya daripada kesan kemalangan bukan bencana kerja, berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, dipetik berkata skim LINDUNG 24 Jam yang diperkenalkan melalui pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, memperuntukkan jaringan perlindungan keselamatan sosial yang lebih meluas di Malaysia, termasuk ketika cuti umum dan hari kelepasan am.
Ramanan dilaporkan berkata, caruman LINDUNG 24 Jam ditanggung sepenuhnya oleh pekerja dan dilaksanakan secara berperingkat mengikut fasa ditetapkan, tertakluk kepada had siling gaji bagi maksud caruman iaitu RM6,000.
Untuk permulaan, kadar caruman bagi LINDUNG 24 Jam adalah 0.75 peratus daripada gaji bulanan, justeru majikan bertanggungjawab untuk menguruskan potongan gaji pekerja dan melaksanakan pembayaran caruman skim itu kepada PERKESO setiap bulan.
INFO Lindung 24 Jam
Fasa 1 (dua tahun pertama): 0.75%
Fasa 2 (tiga tahun berikutnya): 1.00%
Fasa 3 (tahun keenam dan seterusnya): 1.25%
Contoh kiraan mudah (Fasa 1 sekarang – 0.75%):
Gaji RM1,700 → caruman sekitar RM12.75
Gaji RM3,000 → caruman sekitar RM22.50
Gaji RM5,000 → caruman sekitar RM37.50

