Hati-hati terima panggilan wakil 'Bank Negara'

Orang ramai diingatkan supaya lebih berhati-hati dan jangan mudah percaya apabila menerima panggilan telefon individu yang mendakwa dirinya wakil Bank Negara atau bank-bank lain.

Mereka dinasihatkan supaya membuat pengesahan terlebih dahulu dengan Bank Negara atau bank-bank lain mengenai kesahihan panggilan telefon tersebut sebelum membuat sebarang urusan bagi mengelakkan berlakunya penipuan.

Pengamal Undang-undang, Prof. Salleh Buang berkata, walaupun perkara itu sering diingatkan kepada masyarakat tetapi masih ramai tidak mengambil berat mengenainya sehingga menjadi mangsa penipuan panggilan palsu tersebut.

Katanya, sikap tidak ambil tahu itu menyebabkan ramai rakyat negara ini menjadi mangsa dan mengalami kerugian sehingga beribu-ribu ringgit akibat jenayah panggilan palsu serta penipuan kad kredit.

''Mangsa tidak boleh menyalahkan bank sebab jelas sekali di dalam hal ini, bank sememangnya tidak bersalah dan tidak tahu menahu mengenai urusan mangsa dengan si penjenayah tersebut, malah mereka menyerahkan butiran peribadi termasuk nombor akaun serta kad kredit secara sukarela.

''Daripada segi undang-undang, tiada apa boleh dilakukan buat masa ini. Mangsa perlu menunggu hasil siasatan polis,'' katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas mengenai kes jenayah penipuan dan panggilan palsu yang membabitkan kerugian sehingga RM20,000 melibatkan dua mangsa di Pulau Pinang.

Dalam kes itu, kedua-dua mangsa menerima panggilan daripada seseorang yang memperkenalkan dirinya sebagai 'Allen' kononnya dari Bank Negara dan meminta butiran peribadi, kad kredit serta akaun bank bagi menyelesaikan masalah tunggakan kad kredit.

Menurut penganalisis jenayah, Kamal Affandi Hashim pula, jenayah tersebut bukanlah perkara baru di negara ini kerana ramai telah menjadi mangsa panggilan palsu dan penipuan kad kredit itu.

Katanya, kes terbaru itu menunjukkan bahawa rakyat negara ini mudah diperdaya oleh jenayah yang halus dan ia situasi yang amat membimbangkan kerana khuatir semakin ramai akan menjadi mangsa.

''Rakyat kita mudah sangat percaya. Bila kata dari Bank Negara terus percaya.

''Sepatutnya mereka selidik dahulu. Bank Negara biasanya akan berhubung secara terus dan segala urusan akan dilakukan menerusi perjumpaan, bukan melalui panggilan telefon,'' jelasnya.

Sementara itu, jurucakap Bank Negara ketika dihubungi memberitahu, bank tersebut tidak pernah meminta maklumat peribadi termasuk nombor akaun serta kad kredit melalui panggilan telefon.

Katanya, penipuan seperti itu sering berlaku dan mengingatkan kepada masyarakat supaya tidak mudah terpedaya serta memberitahu bahawa tidak pernah wujud 'Unit Kad Kredit Palsu' di Bank Negara dan nombor telefon 03-2772-XXXX bukanlah talian bank itu.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url