IdeaPad siri Z, U dan ThinkPad Edge - Bergaya,mesra pengguna
Pengeluar komputer riba terkemuka, Lenovo, baru-baru ini melancar kehadiran beberapa siri komputer riba. Antaranya rangkaian IdeaPad siri Z, U dan ThinkPad Edge yang bakal menjadi pilihan pengguna.
IdeaPad siri Z terdapat dalam dua model iaitu Z360 (13 inci) dan Z460 (14 inci) dan dijana pemprosesan Intel Core 2010 yang membawa multimedia mudah alih lebih mewah dengan pengalaman hiburan pada harga yang mampu milik.
Selain itu, Lenovo juga memperkenalkan IdeaPad U260 yang merupakan komputer riba pengguna yang ultraportable dan memberikan pengguna dimensi skrin lebar 16:9 dalam skrin 12 inci.
Edisi terkini Siri IdeaPad U semuanya berkenaan dengan ciri-ciri mewah seperti nipis, rekaan minimalis termasuk liputan logam magnesium aloi, rekaan kulit bagi keselesaan di tapak tangan dan pad sentuh kaca.
Sebagai menyempurnakan siri-siri tersebut, IdeaPad U460 muncul dan boleh didapati dengan pilihan warna yang terang dan menarik.
Sejak dilancarkan pada awal September lalu, U460 yang nipis dan bergaya dalam warna coklat mendapat permintaan pengguna.
Disebabkan sambutan yang menggalakkan, Lenovo menawarkan pilihan warna merah selain coklat.
Sementara Lenovo ThinkPad Edge 11 inci pula direka khusus bagi pengusaha industri kecil dan sederhana.
Pengguna yang sentiasa sibuk memerlukan jangka hayat bateri yang panjang seperti ThinkPad Edge 11 inci yang boleh dikendalikan sehingga tujuh jam.
Pengurus Negara, Perniagaan Rumah, Kecil dan Sederhana Lenovo Malaysia, Sunny Ooi berkata, pengenalan siri IdeaPad Z dan U260 serta kehadiran warna baru pada U460 menawarkan lebih banyak pilihan kepada pengguna yang gemarkan kelainan.
"Komputer mudah alih terkini tampil dengan gaya segar dan kontemporari selain keupayaan yang sesuai dengan keperluan mereka," katanya semasa Pameran Fesyen Teknologi Lenovo sempena Pameran Gaya Hidup Digital di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pengurus Akaun MNC bagi Intel, Karen Chow pula menegaskan selama ini Lenovo telah menjadi rakan terbaik Intel dalam meningkatkan pelanggan mudah alih terus bekerja, bergerak dan berfungsi dengan penuh gaya.
"Kami bangga menjadi rakan kongsi Lenovo sekali lagi dalam komitmen kami membantu pelanggan terus berhubung menggunakan komputer riba diri terkini," katanya.
Beliau menambah, pemprosesan Intel Core bukan saja lebih pantas tetapi juga lebih pintar.
Kini komputer riba lebih pintar berada di hujung jari pelanggan bagi memenuhi keperluan pengkomputeran seharian.
- UTUSAN