PNM, KTMB lancar bank buku

IPOH 29 Jan. - Perpustakaan Negara (PNM) dan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) berganding bahu memupuk budaya membaca di kalangan masyarakat dengan melancarkan sebuah bank buku di Stesen KTM Ipoh, hari ini.

Bank buku tersebut dilancarkan oleh Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin D'cruz, yang turut mengikuti siri kedua program membaca 1Malaysia, Jauh Perjalanan Luas Pengetahuan dari stesen KTM Kuala Lumpur ke sini.

Program anjuran bersama PNM dan KTMB itu menghimpunkan pelbagai naskhah bahan bacaan untuk dibaca oleh orang ramai ketika berada dalam kereta api atau untuk dibawa pulang.

Sebelum ini, siri jelajah pertama dilancarkan di stesen KTM Tanjung Malim, Perak dengan memperkenalkan sudut bacaan di dalam gerabak kereta api.

Menurut Maglin, usaha ini sejajar dengan gagasan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" bagi mendidik generasi muda mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah seperti membaca.

"Kerajaan sentiasa memikirkan idea-idea baru bagi menarik semua golongan di negara ini supaya menjadikan membaca sebagai amalan dan budaya hidup," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

"Kita juga mahu menggalakkan semua orang khususnya golongan muda supaya menjadikan amalan membaca buku sebagai budaya berbanding membaca blog atau penulisan dari Internet," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah PNM, Datuk Raslin Abu Bakar dan Pengurus Besar KTM Intercity, Mohd. Zain Mat Taha.

Menurut Mohd. Zain, program tersebut akan diteruskan dengan menubuhkan bank buku kedua di stesen KTM Johor dan Butterworth pada pertengahan tahun ini.

"KTMB merancang untuk memperluaskan lagi idea ini bagi menggalakkan budaya membaca ini di kalangan masyarakat di kawasan luar bandar," katanya.

Sementara itu Raslin yang ditanya tentang kos bagi penubuhan bank buku itu berkata, kebanyakan buku yang diletakkan di dalam bank buku tersebut adalah sumbangan daripada orang ramai.

Program tersebut turut disertai oleh 250 peserta yang terdiri daripada ahli PNM, Kelab Membaca Sinar Pintar, murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah serta mahasiswa dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url