Alihkan hujan kerja Pak Lah
Pengamal perubatan tradisional, Abdullah Tahar, 60, sudah lali dengan sindiran orang ramai yang kurang selesa dengan tindakannya mundar-mandir di tempat terbuka sewaktu hujan lebat.
Terkenal dengan sapaan Pak Lah, berdepan gelaran kurang siuman dan dituduh melakukan amalan syirik menolak hujan sudah dianggap alah bisa tegal biasa.
Bagi Abdullah, kepandaiannya ‘bermain’ dengan fenomena alam itu dan mengalihkannya daripada turun di sesuatu tempat adalah anugerah dan rezeki daripada Allah.
“Saya cuma berdoa supaya Allah mengalihkan hujan dari satu tempat ke tempat lain yang dikehendaki Yang Maha Berkuasa, bukan menolaknya,” jelasnya membetulkan persepsi.
Hadis
Untuk mengalihkan hujan, Pak Lah yang tidak gemar digelar bomoh sentiasa berpandukan ayat suci al-Quran dan hadis Rasulullah s.a.w.
“Amalan ini berlandaskan syariat Islam. Saya tidak pernah menggunakan sebarang alatan setiap kali berdoa melainkan surah Yasin.
“Segala kejadian berlaku atas keizinan Allah dengan syarat kita ikhlas memohon bantuan daripada-Nya,” katanya kepada Jurnal.
Lelaki ini mendakwa kira-kira 70 peratus ramalan cuaca yang dibuatnya adalah tepat.
Tambah Pak Lah, untuk mengalihkan hujan, dia akan mengadakan solat sunat dhuha yang dilakukan selepas naik matahari sebelum ke lokasi yang ditetapkan.
Selepas itu, dengan membaca sepotong ayat daripada hadis Nabi dengan niat untuk memudahkan urusan, dia memohon pertolongan Allah untuk mengalihkan hujan ke tempat lain.
Ayat yang bermaksud ‘hujan di sekeliling kami tidak di atas kami’ diamalkannya setiap kali melaksanakan tatacara tersebut.
Pak Lah turut merujuk ilmu falak yang dipelajarinya ketika usia muda selain mempercayai hubung kait antara bidang sains dengan ilmu alam.
Tajul Muluk
“Kalau kepulan awan berada pada ketinggian kurang 5,000 kaki (1,515 meter) dari paras laut dan berwarna hitam pekat, itu bermakna hujan akan turun.
“Selain itu, jika berlaku tiupan angin yang kuat dari timur barat, timur laut dan barat daya, tidak mustahil juga hujan akan melanda,” katanya yang turut berupaya mengalihkan hujan tanpa perlu berada di tempat yang dimaksudkan.
Namun, jika berlaku petir Pak Lah akan terus membaca doa sebanyak tiga kali dan biasanya hujan tetap turun kerana menurut Pak Lah, itu telah ditentukan Ilahi.
Jurnal diberitahu amalan memohon diturunkan hujan pula dilakukan dengan cara sedikit berbeza daripada amalan mengalihkan hujan.
“Solat hajat akan dilakukan terlebih dahulu sebelum membaca beberapa ayat pendek daripada kitab Tajul Muluk,” singkapnya.
Sepanjang berkecimpung dalam amalan mengalihkan hujan selama 12 tahun, Pak Lah memaklumkan lebih 1,000 acara besar di dalam negara telah dihadirinya.
“Saya selalunya diberikan pas khas yang membolehkan saya memasuki semua kawasan untuk memastikan keadaan cuaca elok sepanjang acara berlangsung,” katanya yang biasa menerima bayaran di antara RM500 hingga RM1,200 setiap kali dijemput.
Selain mengalihkan hujan untuk acara besar, Pak Lah ada juga dijemput terlibat dalam beberapa produksi filem bagi meramalkan keadaan cuaca sepanjang sesi penggambaran.
Menurut Pak Lah, kepercayaan masyarakat Malaysia yang sering dimomokkan dengan pelbagai petua untuk mengelakkan hujan tatkala berlangsungnya majlis terutama kenduri kahwin hanyalah budaya.
“Syirik jika kita percaya pada amalan karut kerana sepatutnya kita perlu memohon kepada Allah untuk melakukan perkara yang di luar jangkauan akal fikiran kita,” katanya.
Sebelum kerap dijemput menjadi peramal cuaca, Pak Lah merupakan seorang pengamal perubatan tradisional selama 30 tahun yang masih dilakukan sehingga sekarang.
“Ini (tolak hujan) adalah sumber pendapatan utama, selain melakukan urutan tradisional saya juga menyediakan ubat-ubatan daripada herba untuk merawat pesakit,” ujarnya yang mampu merawat tulang patah dan masalah tenaga batin lelaki.
Pak Lah juga tidak terkecuali daripada dipanggil untuk merawat serangan histeria dan memagar sesuatu kawasan daripada ditimpa gangguan jin atau binatang buas.
- KOSMO!