Arah aliran beli-belah dalam talian memberangsangkan

EBAY Malaysia, peneraju niaga e-dagang, melihat arah aliran beli-belah secara dalam talian di Malaysia adalah memberangsangkan, dipacu oleh kadar penembusan jalur lebar yang tinggi, kata Pengurus Negaranya, Ambareesh Murty.

Baru-baru ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, penembusan jalur lebar Malaysia melepasi sasaran asal sebanyak 50 peratus, kepada 55.6 peratus.

"Terdapat keperluan asas bagi beli-belah dalam talian di mana-mana pasaran. Keperluan utama ialah jalur lebar. Jika anda melihat pasaran Malaysia, kadar penembusan jalur lebarnya meningkat," kata Ambareesh kepada Bernama dalam temu bual baru-baru ini.
"Beli-belah dalam talian semakin popular di Malaysia memandangkan ia menawarkan kemudahan. Kajian Mastercard menunjukkan, 30 peratus warga Malaysia, membuat pembelian dalam talian pada 2009. Arah aliran itu naik kepada 50 peratus tahun lalu," katanya.

Mengikut Pemantauan Pengguna e-Dagang Visa 2010, Malaysia diletakkan di kedudukan ketiga dalam beli-belah dalam talian, dengan purata jumlah perbelanjaan dalam masa 12 bulan lalu sebanyak AS$2,006 di belakang Taiwan dan China masing-masing pada AS$4,041 dan AS$2,557.

Kajian berkenaan berdasarkan kepada 3,516 temu bual dalam talian dengan pengguna internet biasa dalam enam pasaran e-dagang yang berkembang iaitu China, India, Indonesia, Malaysia, Taiwan dan Thailand.

eBay, sebagai tempat pasaran dalam talian dunia, membolehkan dagangan pada peringkat tempatan, negara dan antarabangsa dan dengan pelbagai komuniti individu dan perniagaan kecil.
Ia menawarkan platform dalam talian di mana berjuta barangan didagangkan setiap hari.

eBay Malaysia, anak syarikat milik penuh eBay Inc, menawarkan tiga format menjual produk atau perkhidmatan iaitu lelong, harga tetap dan iklan (untuk kategori hartanah dan kenderaan).

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url