PPIM lancar Klinik Slot Pengguna

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini melancarkan Slot Klinik Pengguna yang akan disiarkan menerusi Bernama Radio 24 membantu orang ramai menyelesaikan masalah yang dihadapi dalam masa yang singkat.

Setiausaha agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, slot itu yang akan bermula Isnin ini, merupakan langkah PPIM untuk memastikan orang ramai mempunyai pilihan untuk mengutarakan masalah yang mereka hadapi di media.

Katanya, sesetengah rancangan televisyen berkaitan pengguna tidak diikuti semua orang kerana waktu siarannya tidak sesuai dengan masa mereka dan atas faktor tersebut PPIM melancarkan slot tersebut.

"Orang ramai boleh menggunakan slot radio ini untuk membuat sebarang aduan mengenai masalah yang dihadapi. Setiap aduan yang dibuat akan cuba diselesaikan secepat mungkin dengan pihak berkenaan.

"Kami memberi jaminan sebarang maklumat tentang pengadu akan dirahsiakan dan mereka akan dilindungi," katanya semasa sidang akhbar berkaitan pelancaran slot itu di sini hari ini.

PPIM bekerjasama dengan Bernama bagi menyiarkan Slot Klinik Pengguna yang dijadual ke udara setiap Isnin pada pukul 1 petang dan akan diulang siaran setiap Sabtu pada waktu yang sama.

Mengulas proses pemilihan isu yang akan dibincangkan secara langsung menerusi slot itu, Maamor menjelaskan, setiap aduan akan disiasat terlebih dahulu untuk disahkan sama ada ia sudah selesai atau masih berterusan.

"Setiap slot dikendalikan sendiri ahli-ahli PPIM. Sekiranya isu yang difokuskan minggu tersebut memerlukan pakar bidang tertentu untuk menyelesaikannya, kami akan menjemput mereka menyertai slot ini.

"Kami berjanji untuk cuba menyelesaikan masalah yang diadukan dalam jangka masa kurang dari 45 hari," ujar beliau.

Orang ramai boleh menghubungi PPIM di talian 019-3591000 atau melayari laman web persatuanpenggunaislammalaysia.blogspot.com untuk membuat aduan dan mendapat maklumat lanjut mengenai slot itu.

- UTUSANA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url