Samsung Wave 533 - Komunikasi pintar dan seronok


Memperluaskan rangkaian telefon bimbit pintar dengan sokongan platform terbuka, Samsung baru-baru ini tampil dengan dua lagi model produk selular terkininya.

Hadir bersama sistem operasi yang dinamakan bada ciptaan syarikat elektronik itu sendiri, model Wave 723 dan Wave 533 bakal menawarkan pengguna pengalaman telekomunikasi mobiliti berbeza.

Bukan setakat itu, kedua-dua model tersebut juga didatangkan bersama sokongan spesifikasi moden dan berkualiti.

Untuk model Wave 723, ia dicipta khas untuk aplikasi pengguna yang sentiasa mahu berhubung secara mobiliti di mana-mana sahaja mereka berada.

Selain prestasi maksimumnya, model berkenaan turut mempunyai kemasan luar dengan gaya premium serta didatangkan bersama pelindung skrin hadapan diperbuat daripada material kulit.

Menurut Pembantu Pengurus Bahagian Perkhidmatan dan Penyelesaian Samsung Malaysia Electronics (SME), Colin Hew, model berkenaan membenarkan pengguna mengurus sendiri aktiviti harian mereka.

"Dengan segala kelebihan yang ditawarkan, ia akan menjadi pengurus kepada segala aktiviti terutama untuk tujuan bisnes,'' katanya ketika ditemui pada taklimat media pengenalan telefon bimbit tersebut di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Wave 723 disempurnakan dengan teknologi paparan jelas melalui skrin sentuh TFT-LCD bersaiz 3.2 inci.

Apa yang unik, model itu turut tersedia bersama stor Samsung Apps untuk kemudahan memuat turun pelbagai aplikasi seperti permainan video, rangkaian sosial, navigasi, kesihatan, buku elektronik dan sebagainya.

Untuk kemudahan pelayan Internet pula, Wave 723 didatangkan bersama keupayaan capaian Wi-Fi dan juga akses 3G.

Beralih kepada model Samsung Wave 533, ia diintegrasikan bersama aplikasi Samsung Social Hub untuk menyokong perkongsian maklumat antara nombor-nombor yang ada, rangkaian sosial dan perkhidmatan e-mel.

"Pengguna telefon bimbit model ini akan dapat berhubung secara terus tidak kira di mana mereka berada,'' jelasnya.

Model berkenaan didatangkan dengan rekaan gelongsor tepi dan mempunyai kemasan papan kekunci QWERTY berbentuk landskap.

Samsung Wave 723 dan Wave 533 kini boleh diperolehi di pasaran dengan tawaran harga masing-masing RM939 dan RM699.

Maklumat lanjut mengenainya, sila layari laman web www.samsungmobile.com.my

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url