Hanya 30 peratus rakyat guna perpustakaan
Petunjuk Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) itu hakikatnya belum lagi menepati kriteria sebenar masyarakat berilmu diinginkan.
Menyedari hakikat itu, kerajaan memperuntukkan RM1.8 juta bagi menjayakan pelbagai kempen membaca terutama di luar bandar termasuk Jelajah Kelab Membaca Sinar Pintar ke perpustakaan desa terpilih di seluruh negara.
Selain itu adalah perkhidmatan pintu ke pintu selain beberapa lagi aktiviti yang berkaitan.
Bagi membangunkan infrastruktur dan perkhidmatan perpustakaan desa sahaja, kerajaan membelanjakan RM150 juta dari 2005 hingga 2007.
Bermula dengan pembinaan 50 perpustakaan desa pada 2007, kini terdapat sebanyak 1,089 buah keseluruhannya. Daripada jumlah itu, 925 buah dibekalkan dengan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Bagaimanapun, matlamat menerapkan budaya membaca dan melahirkan masyarakat berilmu seolah-olah masih jauh untuk dicapai.
Lihat sahaja di sekeliling kita terutama apabila menggunakan pengangkutan awam atau semasa menunggu seseorang di restoran.
Kebanyakannya hanya membazirkan waktu begitu sahaja dengan 'bermain' telefon bimbit. Jarang sekali melihat mereka membaca buku.
Sama ada disedari atau tidak, hidup kita sentiasa dikawal oleh tabiat. Tabiat membentuk gaya kehidupan individu - positif atau negatif.
Mengulas perkara ini, Felo Amat Utama Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC), Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady berkata, dalam mengejar kejayaan, individu harus membina dan mengawal tabiat diri.
Katanya, walaupun membaca adalah tabiat yang menjadi asas kecemerlangan hidup seseorang itu, namun ramai di kalangan masyarakat terutama orang Melayu lebih tertarik dengan pelbagai bentuk hiburan.
"Ini tabiat yang perlu kita perbetulkan bagi menggelakkan keadaan lebih mendatangkan kesan negatif kepada pembentukan peribadi dan moral masyarakat," katanya ketika dihubungi di sini, baru-baru ini.
Kanak-kanak lebih tahu menghargai buku
Kajian terhadap tabiat membaca di kalangan pengguna perpustakaan desa mendapati, kanak-kanak lebih menghargai buku apabila mereka merupakan golongan teramai mengunjunginya.
Soal selidik ke atas 800 pengguna perpustakaan desa di seluruh negara oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan, responden 10 hingga 12 tahun tertinggi iaitu 263 orang atau 33 peratus.
Ini diikuti responden 13 hingga 19 tahun iaitu 254 orang (31.7 peratus), 20 hingga 40 tahun (25.7 peratus), 41 hingga 50 tahun (7.6 peratus) dan 16 responden, 51 tahun ke atas.
Responden paling ramai pula kaum Melayu iaitu 96 peratus (768 orang) diikuti Cina, 2.6 peratus (21 orang), India, 1.1 peratus (sembilan orang) dan lain-lain (tiga orang).
Sebanyak 97 peratus atau 773 orang responden suka membaca manakala tiga peratus tidak suka membaca.
Terdapat empat tujuan utama membaca iaitu menambah ilmu (34.3 peratus), mengisi masa lapang (26.6 peratus), tujuan pembelajaran (19.6 peratus) dan mendapatkan keseronokan (15.7 peratus).
Hanya 51 orang yang memilih membaca untuk tujuan pekerjaan.
Seramai 699 (70 peratus) responden memilih bahan bacaan bercetak seperti buku dan majalah sebagai bacaan digemari, 225 orang (22 peratus) memilih bacaan dalam talian.
Walaupun kajian ini meliputi ahli perpustakaan desa namun terdapat kelompok responden yang mengakui tidak suka membaca (27 orang).
Antara alasan atau faktor diberi ialah tiada masa lapang (lima orang) dan lebih berminat kepada aktiviti lain (22 orang).
Perlu dinyatakan, keahlian perpustakaan desa di seluruh negara ketika ini adalah kira-kira 1.3 juta orang.
- UTUSAN