Syarat kelayakan menjadi penghuni syurga

Oleh Hizbur Rahman Omar Zuhdi
Naib juara program Imam Muda terbitan Astro Oasis

Segala pujian bagi Allah, Tuhan semesta alam. Selawat dan salam ke atas junjungan besar, Al-Amin Nabi Muhammad SAW. Salam ukhuwah dari saya buat semua pembaca yang dirahmati Allah. Alhamdulillah, bertemu lagi kita di ruangan pencinta ilmu ini.

Syurga, nama atau tempat yang diidamkan setiap insan tidak kira agama apa pun yang dianuti.

Ingin saya kongsi satu cerita khas buat pembaca setia ruangan ini. Saya pernah dipertemukan dengan seorang hamba Allah bukan Muslim, menegur seorang kanak-kanak kerana mengajuk kata-kata ibunya di sebuah pasar raya.

Seorang kanak-kanak berlari-lari dan apabila ditegur ibunya, dia mengajuk kata-kata ibunya. Seorang wanita bukan Islam yang melihat kemudian berkata kepada kanak-kanak itu: “Adik, tak baik tau, buat macam itu pada ibu. Nanti adik jadi anak derhaka, adik tak boleh masuk syurga.”

Tentunya syurga menjadi igauan indah untuk diterokai suasananya. Bak kata pepatah, tak kenal maka tak cinta. Jadi, marilah bersama mengenali nama syurga untuk kita memasang impian berada di dalamnya nanti.

Syurga Firdaus (para nabi, rasul, syahid, pemberi sedekah), 'Adn (mereka yang memelihara solatnya), Na'iim (mereka yang mengeluarkan zakat), Ma'wa (mereka yang sentiasa menyuruh kepada berbuat kebaikan dan mencegah kemungkaran).

Syurga Darussalaam (mereka yang menahan nafsunya), Daarul Muaqaamah (mereka yang menunaikan ibadah haji dan umrah), Al-Muqqamul Amin (para pejuang) dan Khuldi (mereka yang memelihara pandangan daripada melihat perkara haram).
Agak-agaknya, tingkatan syurga mana satu menjadi pilihan kalbu. Cukupkah hanya dengan mengetahui nama, kita sudah layak menjadi penghuni atau ahli syurga? Jawapannya sudah tentu tidak.

Mari kita berkongsi tips untuk menjadi ahli syurga. Antara amalan yang perlu dilakukan secara istiqamah sebagai syarat awal keahlian ialah memberi salam mencontohi Nabi SAW yang sentiasa memberi salam terlebih dulu ketika bersua, walau terhadap kanak-kanak.

Daripada Anas, bahawasanya ia berjalan di kalangan beberapa orang kanak-kanak lalu ia memberi salam kepada mereka dan katanya Nabi SAW berbuat demikian. (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim)

Murahkan senyuman seperti hadis daripada Jabir bin Abdullah katanya: “Rasulullah SAW bersabda: Tiap-tiap perkara yang makruf menjadi sedekah. Antara perkara yang makruf itu ialah hendaklah engkau (semasa) bertemu dengan saudaramu (sesama anak Adam) biarlah dengan muka yang manis dan (jika ada yang meminta air) hendaklah engkau tuangkan timbamu ke dalam bekas air yang dibawanya.” (Hadis riwayat Ahmad)

Tiga perkara yang tidak akan putus amalan seseorang itu walaupun selepas beliau meninggal dunia salah satunya ialah bersedekah. Oleh itu, untuk menjadi ahli syurga, hendaklah memperbanyakkan sedekah.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tidak akan dikurangi harta dengan sebab bersedekah, Allah tidak menambah keampunan seseorang hamba melainkan seseorang itu ditambahkan dengan kemuliaan. Tidaklah seseorang itu merendah diri kerana mengharapkan keredaan Allah melainkan akan diangkatkan darjatnya.” (Hadis riwayat Muslim)

Hakim Ibnu Hizam berkata, Nabi SAW bersabda maksudnya: “Tangan yang di atas lebih baik dari tangan yang di bawah. Dan berilah lebih dulu kepada orang yang engkau tanggung. Dan sebaik-baik sedekah ialah sedekah yang sesudah kita berikan masih ada sisa yang cukup bagi kita. Sesiapa memelihara diri daripada yang haram dan meminta-minta, nescaya Allah menjadikannya orang yang terpelihara. Dan sesiapa memohon kepada Allah supaya diberi kecukupan, nescaya Allah memberikan kecukupan untuknya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Ahli syurga juga tidak lekang dari bibir mereka mengingati Allah dengan berzikir kerana selain mendapat ketenangan hati, mereka juga dimurahkan rezeki.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Sesiapa yang sentiasa beristighfar maka Allah akan menjadikan baginya setiap kesusahan itu jalan keluar dan pada setiap kesempitan cara mengatasinya serta memberikan rezeki kepadanya daripada sumber yang tidak disangka-sangka.”

Justeru, marilah bersama kita mempersiapkan diri untuk mendaftar sebagai ahli syurga dengan memastikan setiap syarat yang diperlukan dipenuhi secara istiqamah.

Firman Allah bermaksud: “Dan bersabarlah kerana sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang yang berbuat kebaikan.” (Surah Hud, ayat 115)

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url