ASTRO umum Aznil pengacara Akademi Fantasia 9
Pengurus Saluran ASTRO Ria, Azlin Reza Azmi berkata, pemilih Aznil itu bagi mengimbau kembali kegemilangan program realiti itu serta menjadikan musim terakhir berkenaan sebagai program terbaik buat penonton.
“Disebabkan musim kali ini, musim AF terakhir, jadi kita mahu menjadikan edisi kesembilan sebagai terbaik bagi mengembalikan segala kegemilangan program realiti ini, supaya memorinya sentiasa tersemat di hati penonton, ” katanya pada sidang media memperkenalkan pengacara rancangan itu, semalam.
Katanya, pemilihan Aznil berdasarkan kepada bakat dan kaliber selain pernah menjadi pengacara program itu dari musim pertama sehingga kelima.
Aznil berkata, pemilihan itu cukup bermakna, selain penghargaan atas usahanya selama ini dalam membawa AF ke puncak kegemilangan sekali gus mampu menaikkan rating program terbabit.
“Jika saya yang memulakannya, apa salahnya jika saya yang menutup program ini. Pemilihan saya juga termaktub dalam kontrak saya bersama Astro.
“Memang ramai yang bertanyakan kepada saya mengenai desas-desus pemilihan saya kembali mengacarakan program ini, tetapi saya tidak dapat memberi sebarang komen selagi belum diputuskan pihak ASTRO. Hari ini (semalam), segala desas-desus itu sudah pun terjawab,” katanya.
Aznil bukan saja berperanan sebagai pengacara konsert AF, beliau akan turut mengendalikan konsert pengenalan dan diari AF yang akan mula bersiaran pada 2 April ini, di saluran 104, Astro Ria.
Bagaimanapun, siapa pengetua AF belum lagi terjawab dan sumber memaklumkan, pemuzik dan penyanyi Indonesia, Ahmad Dhani, dipilih menggalas tugas itu.
Namun, disebabkan pelbagai kontroversi menghambat dirinya, artis berkenaan dikatakan diganti dengan tokoh muzik tempatan, antara nama yang disebut mengisi jawatan itu ialah Amy Search.
- BERITA HARIAN