Soal Jawab Agama: Pinjam bank untuk kahwin
SOALAN
Saya bakal melangsungkan perkahwinan pada awal tahun depan. Untuk mengelakkan terjebak dengan maksiat, saya membuat pinjaman bank untuk berkahwin kerana berpendapatan sederhana.
Adakah benar kawan saya mengatakan membuat pinjaman berkenaan satu kesalahan kerana membabitkan riba sehingga menjadikan perkahwinan tidak berkat.
Apakah hukum meletakkan wang hantaran tinggi kepada seorang wanita berdasarkan kepada tahap pendidikannya?
JAWAPAN
PERKAHWINAN sememangnya dianjurkan Islam. Saudara sebenarnya memilih jalan yang tepat untuk berkahwin. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan kahwinkanlah orang bujang dari kalangan kamu dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah Maha Luas rahmat-Nya, lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Nur ayat 32)
Bagaimanapun, perkahwinan memerlukan perbelanjaan tertentu sama ada sebelum perkahwinan atau selepasnya. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Wahai pemuda-pemuda, sesiapa yang mampu di antara kamu (mempunyai belanja serta keinginan) hendak berkahwin, hendaklah ia kahwin, kerana sesungguhnya perkahwinan itu akan memejamkan matanya (terhadap orang yang tidak halal dilihatnya) dan terkawal kehormatannya dan sesiapa yang tidak mampu berkahwin hendaklah ia berpuasa, bahawa puasa itu menjadi benteng.” (Riwayat Muslim)
Kerana itu, itu meminjam dan meletakkan wang hantaran yang tinggi tidak digalakkan dalam Islam. Sekiranya terpaksa membuat pinjaman, ia hendaklah berpada dan tidak menyusahkan kehidupan anda berdua nanti.
Selain itu anda dicadangkan mengambil pembiayaan peribadi secara Islam. Ia membabitkan akad jual beli atau sewa berbanding dengan membuat pinjaman biasa melalui bank yang membabitkan riba.
- HARIAN METRO