Top Ad 728x90

Aduan telefon bimbit paling tinggi

Kes membabitkan pembelian telefon bimbit dan rasa tidak puas hati pembeli selain aduan kurang senang dengan perkhidmatan rawatan disediakan pusat kecantikan paling banyak diadukan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun ini.

TTPM menerima 5,392 kes difailkan pengguna di seluruh negara sepanjang enam bulan pertama tahun ini, iaitu peningkatan hampir 100 peratus berbanding hanya 2,699 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Daripada jumlah itu, bagi kategori barangan, tuntutan membabitkan rasa tidak puas hati berhubung pembelian telefon bimbit merekodkan jumlah tertinggi iaitu 335 kes atau 13.3 peratus, diikuti perabot 294 kes (11.7 peratus).

Bagi kategori perkhidmatan pula, rawatan disediakan pusat kecantikan mencatatkan bilangan agak tinggi dilaporkan kepada TTPM dengan 272 kes (9.45 peratus) diikuti pakej umrah dan haji 261 kes (9.07 peratus).

Tahun lalu, tumpuan kes terarah kepada kegiatan cabutan bertuah serta gores dan menang dan telefon bimbit bagi kategori barangan, manakala kategori perkhidmatan membabitkan rawatan pusat kecantikan dan agensi pembantu rumah.

Pengerusi TTPM, Pretam Singh, berkata peningkatan 2,693 kes sepanjang enam bulan pertama tahun ini jelas membuktikan kesedaran rakyat Malaysia kini semakin meningkat dalam menuntut hak mereka sebagai pengguna.
“Pertambahan mendadak ini menunjukkan rakyat Malaysia kini tahu membawa masalah dan tuntutan mereka kepada saluran betul iaitu TTPM, bukan pada pihak yang tiada kaitan.

“Berdasarkan piagam pelanggan ditetapkan, TTPM akan menyelesaikan sesuatu kes yang difailkan pengguna dalam 40 hari tetapi kebiasaannya, banyak kes diselesaikan lebih awal bergantung kepada situasi dan keadaan kes terbabit.

“Kesedaran masyarakat ini juga hasil kerjasama media massa yang banyak membantu TTPM sehingga orang ramai mula sedar peranan dan keberkesanan tribunal ini. Berikutan itu, setiap kali TTPM bersidang, kami mengalu-alukan kehadiran media membuat liputan kerana ia amat berkesan untuk memberi kesedaran kepada masyarakat dan pengguna,” katanya.

Katanya, peningkatan kesedaran pengguna itu juga disebabkan pelbagai program dirangka Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) termasuk menerusi drama Langsai yang mula disiarkan sejak 12 April lalu menerusi RTM bagi mengupas pelbagai isu kepenggunaan.

Katanya, selain itu, program ceramah di seluruh negara juga antara usaha dijalankan TTPM bagi meningkatkan tahap kesedaran masyarakat berhubung hak kepenggunaan.

- BERITA MINGGU

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90