Gambar Di Media Sosial Bukan Baharudin Ahmad - Polis
KUALA LUMPUR 13 Julai – Polis Diraja Malaysia (PDRM) hari ini mengesahkan bahawa gambar menunjukkan seorang lelaki terbaring dan sesak nafas di atas jalan semasa perhimpunan haram di ibu negara pada Sabtu lalu, yang disiarkan dalam Internet dan blog-blog pro pembangkang bukanlah Allahyarham Baharudin Ahmad.
Sebelum ini, pembangkang melalui portal berita dan laman sosial seperti Facebook dan Twitter membuat dakwaan kematian Baharudin berpunca daripada tindakan polis melepaskan tembakan gas pemedih mata.
Bagi mengukuhkan dakwaan tersebut, mereka menyebarkan gambar dan video menunjukkan seorang ahli perhimpunan didakwa sebagai Baharudin sedang terbaring dan sesak nafas di atas jalan raya.
Penolong Ketua Urus Setia Ketua Polis Negara (Perhubungan Awam) PDRM, Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf berkata, berikutan penyebaran gambar dan video tersebut, pihak polis bertindak menjalankan siasatan.
“Pada 9 Julai lalu, seorang lelaki telah meninggal dunia disebabkan serangan jantung. Pihak yang tidak bertanggungjawab telah menyebarkan gambar dan video di dalam media sosial (Internet dan blog) untuk memberi gambaran bahawa seorang ahli perhimpunan yang kelihatan terbaring dan sesak nafas di atas jalan raya adalah Allahyarham Baharudin.
“Sehubungan itu, pihak polis telah menyiasat dan mengenal pasti bahawa gambar dan video yang disebarkan di media sosial tersebut bukan Allahyarham Baharudin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kenyataan akhbar turut menyertakan gambar sebenar Baharudin untuk disiarkan sebagai bukti bagi menafikan dakwaan palsu tersebut.
Pada Sabtu lalu, Baharudin, 59, dilaporkan berada di sekitar Kuala Lumpur City Centre (KLCC) bersama peserta Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) dan melarikan diri memasuki bangunan berhampiran, Avenue K sebelum sesak nafas dan disahkan meninggal dunia oleh Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh menafikan pihaknya melepaskan tembakan itu di kawasan KLCC yang didakwa pembangkang sebagai punca kematian lelaki berkenaan.
- BERNAMA