Jaminan tingkap kuasa kereta Proton


ISU persepsi negatif mengenai kualiti tingkap kuasa atau 'power window' kereta Proton yang sebelum ini menjadi perbualan hingga ke Parlimen, bakal selesai apabila Proton Holdings Bhd akan mengumumkan langkah menanganinya tidak lama lagi.

Ia berikutan pengeluar kereta nasional itu kini sedang merangka pelan jaminan pemberian kualiti seumur hidup khusus bagi menjamin kegunaan harian tingkap kuasanya.

Pengarah Urusannya, Datuk Seri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir, berkata rangka kerja itu pada peringkat akhir dan pengumuman mengenainya akan dibuat tidak lama lagi.

Beliau berkata, menerusi pengenalan pelan jaminan itu, ia sekali gus akan melenyapkan terus tanggapan negatif sesetengah pihak terhadap kualiti tingkap kuasa kereta Proton.

Katanya, meskipun kualiti kenderaan Proton, khususnya membabitkan tingkap kuasa itu sudah ditangani sebelum ini, persepsi negatif pengguna terhadap perkara itu masih tidak berubah.

“Sebelum ini, ramai pemilik Proton sering mengadu akibat mengalami masalah tingkap kuasa kenderaan mereka. Namun begitu, menerusi beberapa penambahbaikan teknologi dan kualiti dalam beberapa tahun lalu, tingkap berkuasa kereta Proton kini sudah jauh lebih berkualiti.

“Justeru, sebagai langkah menangani persepsi negatif, selain menunjukkan komitmen Proton yang sentiasa mengutamakan kualiti kereta keluarannya, kami berani mengatakan bahawa kini tidak ada sebarang kecacatan terhadap tingkap kuasa Proton.

“Diharapkan dengan pengenalan jaminan itu tidak lama lagi, ia dapat melenyapkan komen sinis berkenaan,” katanya ketika ditemui Berita Harian di Kuala Lumpur.

Penganalisis automotif ketika dihubungi bagi mengulas pemberian jaminan itu, melihat Proton bergerak dalam landasan yang tepat dan kini mampu memberikan saingan sengit dengan pengeluar kereta jenama antarabangsa lain.

“Sebelum kumpulan itu diterajui oleh Syed Zainal, Proton sudah menggerakkan bahagian penyelidikan dan pembangunannya (R&D) agar menjadi pengeluar sebenar automotif yang berdaya saing dengan model Waja diikuti dengan Gen2.

“Bahagian kualiti dan produksi menjadi keutamaan apabila Proton diambil-alih Syed Zainal yang mana beliau menggabungkan teknologi pengendalian Lotus dengan Proton, sekali gus berupaya menangani masalah kualiti dan mampu mengeluarkan model seperti Persona, Saga dan Exora yang hangat dijual di pasaran,” katanya.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url