Top Ad 728x90

Tabung bantu mangsa krisis kemarau Somalia dilancar

KUALA LUMPUR 24 Ogos — Kerajaan telah menggerakkan Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri bagi mengutip sumbangan daripada orang ramai untuk disalurkan kepada mangsa krisis kemarau di Somalia.

Dalam satu kenyataan hari ini, Wisma Putra berkata Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) telah mengisytiharkan krisis kemarau di timur laut Afrika telah mencapai tahap yang runcing serta menjejaskan kehidupan masyarakat di sana.

Krisis kemarau yang berlarutan sedekad lamanya dan paling buruk dalam tempoh 60 tahun ini telah mengakibatkan kematian puluhan ribu warga Somalia dengan ratusan ribu lagi terdedah kepada ancaman kebuluran yang sangat teruk.

"Jika krisis ini tidak ditangani dari sekarang, ia dikhuatiri boleh merebak ke kawasan lain di timur laut Afrika,” kata kenyataan itu.

PBB turut merayu bantuan antarabangsa agar menghulur bantuan kewangan kerana sebanyak RM3.6 bilion lagi diperlukan bagi bantuan kemanusiaan untuk menyelamatkan lebih banyak nyawa di kawasan yang terlibat.

Wisma Putra berkata, kerajaan mengalu-alukan penglibatan dan penyertaan orang ramai menghulurkan sumbangan bagi membantu mangsa.

Sumbangan boleh disalurkan melalui cek ke Kementerian Luar Negeri atas nama

“Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri” dan dialamatkan kepada:Ketua Akauntan, Kementerian Luar Negeri, Tingkat 2, Bangunan WP2 No. 1, Jalan Wisma Putra, 62602 Putrajaya atau boleh menghubungi talian 03-88874251 atau 03-88892924.

Sumbangan secara tunai pula boleh dihantar terus di dalam sampul surat ke kaunter khas bersebelahan Seksyen Konsular di Wisma Putra atau ke Institut Diplomasi dan Hubungan Luar Negeri di Jalan Wisma Putra.

Penyumbang layak dipertimbangkan untuk pengecualian cukai di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967 dan resit rasmi akan dikeluarkan.

— BERNAMA

1 Comment:

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90