Tuntutan pencarum Perkeso meningkat

Jumlah tuntutan terhadap Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meningkat daripada 94,490 kes pada 2008 kepada 100,164 kes tahun lalu dipercayai akibat peningkatan jumlah kemalangan di tempat kerja terutama pada sebelah malam.

Peningkatan 5,674 kes itu juga menyebabkan jumlah bayaran tuntutan tahunan meningkat daripada RM1.18 bilion kepada RM1.35 bilion pada tahun lalu untuk dibayar kepada 324, 728 penerima faedah tahun lalu.

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, K Selvarajah, berkata selain jumlah kes semakin meningkat, nilai bayaran tuntutan bertambah disebabkan pihaknya juga mengambil kira kos sara hidup ketika ini dan perlu diselaraskan dengan keadaan semasa.

“Banyak kes membabitkan kemalangan dalam perjalanan ke tempat kerja dan pulang ke rumah terutama malam.

“Kami tegaskan kepada majikan dan pekerja segera membuat tuntutan. Kami ada pasukan penyiasat yang bersedia ke tempat kejadian untuk membantu mereka. Jika semuanya lancar, permohonan lengkap, pekerja akan menerima faedah tuntutan lebih cepat,” katanya.

Katanya, mengikut Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969, majikan yang gagal atau lewat melaporkan kemalangan boleh dikenakan hukuman denda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya, manakala majikan dan pekerja yang memberi, membuat atau mengemukakan dokumen atau maklumat palsu boleh dikenakan tindakan sama.

“Pekerja dan keluarga perlu menyedari dan menuntut hak. Ramai tidak faham dan tidak tahu keistimewaan pencarum Perkeso atau digelar orang berinsurans. Semua tafsiran dinilai pakar termasuk jemaah doktor,” katanya.

Melalui Skim Insurans Bencana Pekerjaan, pekerja akan dilindungi jika berlaku kemalangan di tempat kerja, dalam perjalanan atau kemalangan ketika kecemasan seperti kebakaran di tempat kerja dan penyakit akibat suasana bekerja.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url