Top Ad 728x90

KPDNKK Perkenal Kaedah 'Basket Of Brands' Banteras Jualan Barang Tiruan

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) kini melaksanakan kaedah 'basket of brands' (BOB) bagi memudahkannya membantu syarikat-syarikat pembuat melindungi barang-barang keluaran mereka yang sering berdepan dengan barang tiruan.

Ini meliputi pakaian, minuman keras, alat ganti kereta dan ubatan yang dikenalpasti popular di kalangan pengguna, kata Ketua Pengarah Bahagian Penguatkuasa KPDNKK Mohd Roslan Mahayudin.

Beliau berkata, dalam usaha memerangi barang tiruan, kementerian akan memberi tumpuan terhadap barang-barang yang tergolong dalam BOB.

Sehingga kini, kira-kira 20 syarikat yang mempunyai 40 cap dagangan telah bersetuju untuk menyertai program itu, katanya dalam sidang media selepas menutup Program Rakan Gerak Gempur Cetak Rompak (Rakan GGCR) di sini Ahad.

Seramai 34 penuntut dari 13 Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini menyertai program selama tiga hari anjuran KPDNKK dengan kerjasama pelbagai agensi termasuk Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Mohd Roslan berkata kaedah BOB diperkenalkan berikutan KPDNKK tidak mampu membanteras kesemua barangan tiruan yang terlalu banyak di pasaran tempatan.

"Sebab itu kita masukkan dalam satu basket dan kalau kita boleh banteras (barangan tiruan) dalam BOB, dah cukup baik dah," katanya.

Beliau berkata program BOB akan dilancarkan pada konvensyen penguatkuasaan hak ke atas harta intelek (IPR) di seluruh negara yang akan diadakan di Kuala Lumpur pada 20 Okt depan.

Mengulas mengenai program Rakan GGCR, Mohd Roslan berkata ia diadakan bagi memberi pendedahan dan memperkasakan kesedaran di kalangan penuntut IPT agar lebih peka terhadap tanggungjawab dalam membanteras kegiatan cetak rompak dan penjualan barang tiruan.

"Pelajar-pelajar yang dipilih menjadi Rakan GGCR akan diberi kursus bagi meningkatkan pengetahuan tentang kempen membanteras cetak rompak.

"Pelajar ini juga berperanan menjadi perantara di IPT dan KPDNKK dengan memberi maklumat, cadangan serta komen dalam usaha menangani kegiatan cetak rompak dan barangan tiruan di negara ini," katanya.

- BERNAMA

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90