Magis Yuna
PERNAH memenangi anugerah Artis Baru Terbaik pada Anugerah Industri Muzik Ke-17 (AIM17) tahun lalu melalui album mininya Yuna, ternyata tugas Yuna untuk menghasilkan album terbarunya bukan mudah.
Bagi anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini, walaupun sudah mencipta 30 buah lagu bagi kemunculan terbarunya nanti, Yuna masih mencari lagu magis yang mampu memikat telinga pendengar.
Kesempatan Hits bertemu Yuna yang pulang ke tanah air baru-baru ini, sedikit sebanyak memberi peluang kepada pelantun lagu Dan Sebenarnya ini bercerita mengenai kegiatan seninya.
Menurut Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, kini, dia terlalu sibuk dengan persiapan album barunya yang dijangka diedarkan pada tahun hadapan.
Selain itu, gadis ini juga turut terlibat dalam penggambaran iklan komersial untuk Canon.
“Buat masa sekarang, saya sibuk membuat persiapan untuk menyiapkan album baru.
“Tidak dinafikan kadang-kadang tidak cukup tidur juga dibuatnya, tapi Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar,” ujarnya.
Kesungguhan Yuna dalam memastikan album barunya mendapat tempat di hati peminat dapat dilihat apabila dia hanya meluangkan masa di tanah air sehingga minggu ketiga raya.
“Saya sudah sampai di Malaysia lima hari sebelum Aidilfitri lalu dan sangat bersyukur kerana dapat beraya tanpa sebarang gangguan kerja, “ kata Yuna yang telah mengadakan persembahan di Dewan Filharmonik Petronas (DFP) pada 12 dan 13 September lalu.
Yuna yang berlepas ke Amerika Syarikat (AS) Rabu lalu berkata, dia terharu sambutan terhadap persembahannya di DFP.
“Saya terharu dan sangat berterima kasih dengan sokongan peminat. Tiada apa yang lebih berharga daripada menerima sokongan yang tidak berbelah bahagi daripada peminat,” ujar gadis yang turut melayan peminatnya melalui laman sosial Twitter.
Kembara di negara Uncle Sam
Bagi gadis yang sudah mencipta lagunya sendiri seawal 19 tahun, kembara seninya tidak akan terhenti selagi apa yang diingininya tidak tercapai.
Berada di bawah label rakaman Fader Label di AS, Yuna beruntung kerana syarikat rakaman itu sentiasa mengambil berat dan memberi sokongan terhadapnya.
Selain itu, bagi Yuna yang menetap di Downtown, Los Angeles, kehidupannya kini tidak jauh berbeza.
“Sejak menjejakkan kaki di sana, saya cuba menyesuaikan diri dengan persekitaran dan juga cara hidup di sana.
“Selain itu, tidak dinafikan, Islamophobia memang wujud tetapi tidaklah seteruk yang dilaporkan oleh media Barat.
“Alhamdulillah, setakat ini, perkara tersebut tidak membuatkan saya berhenti daripada imej bertudung,” katanya tegas.
Gemar memenuhi aktiviti terluang dengan berbasikal, Yuna juga menganggap ia sebagai pelepas tekanan setelah berada terlalu lama dalam studio rakaman.
“Berada dalam studio terlalu lama juga tidak elok. Jadi, apabila ada kelapangan, saya akan berbasikal bagi mengisi masa tersebut,” katanya sambil tersenyum manis sebelum mengakhiri perbualan.
- UTUSAN