Top Ad 728x90

,

Pelaksanaan Hukum Hudud Bukan Gambaran Keseluruhan Negara Islam – Dr Asri

Hukum hudud hanyalah satu mekanisme untuk mengatasi jenayah-jenayah tertentu dan bukannya gambaran keseluruhan tentang sebuah negara Islam, kata bekas Mufti Perlis Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Menurutnya, bukan hudud sahaja undang-undang yang merangkumi semua jenayah.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai isu pelaksanaan hukum hudud yang ingin dilaksanakan oleh kerajaan PAS Kelantan.

“Banyak lagi jenayah yang tidak tersenarai di bawah hudud. Peratusan besar jenayah yang pelbagai, terutama di zaman ini berada di bawah takzir.

“Mekanisme ini pula memerlukan suasana yang kondusif untuk pelaksanaannya,” kata beliau dalam entri terbaru di blognya pada Khamis.

Beliau yang juga pensyarah di Universiti Sains Malaysia berkata, dalam melaksanakan hudud, pemerintah hendaklah mendidik rakyat agar dapat mengelakkan sikap suka mengangkat kes hudud kepada pihak mahkamah.

“Sebaliknya, hendaklah digalakkan memaafkan sesama manusia dan diselesaikan di luar mahkamah.

“Gambaran negara yang islamik sebagai negara yang sibuk mencari pesalah untuk dihukum dengan undang-undang hudud adalah gambaran yang silap yang ada di fikiran sesetengah pihak yang kurang memahami Islam,” katanya.

Tegas Dr Asri, sebagai orang Islam, kewujudan hukum hudud tidak boleh dinafikan kerana ia termaktub di dalam al-Quran dan Sunnah Nabi.

“Cumanya, perincian hudud itu memerlukan ijtihad yang mengambil kira soal perubahan zaman dan tempat. Umpamanya kadar barang curian memerlukan ijtihad yang baru kerana fuqaha sejak dahulu berbeza dalam hal ini.

“Cara potongan; penggunaan alatan moden dan ubatan moden juga perlu diambil perhatian atas sifat ihsan Islam dalam semua perkataan. Demikian juga suasana masyarakat juga hendaklah diambil kira,” katanya.

Justeru, Mohd Asri berkata ruangan taubat dalam hudud juga hendaklah diluaskan dengan memakai mazhab yang luas dalam hal ini.

“Mereka yang bertaubat sebelum tangkapan patut digugurkan hukuman hudud dan boleh diganti dengan takzir,” katanya.

Malah, dalam mesyuarat pimpinan tertinggi Pakatan Rakyat pada malam Rabu turut memutuskan pakatan pembangkang tidak akan melaksanakan hukum hudud yang dicadangkan PAS kerana ia tidak menepati dasar bersama, Perlembagaan Persekutuan dan agenda Buku Jingga.

Bagaimanapun, PR menegaskan bahawa mereka menghormati pendirian kerajaan PAS Kelantan untuk melaksanakannya.

- MSTAR

0 Comment:

Catat Ulasan

Sila nyatakan NAMA PENUH anda apabila memberikan komen atau pertanyaan. Setiap komen akan ditapis terlebih dahulu sebelum disiarkan. Komen yang tiada nama akan dipadamkan. Terima Kasih.


Untuk mendapatkan Pakej Cara Untuk Buat Resume Terbaik Cara Sediakan Resume Kerja

Top Ad 728x90