Abdullah Ubay penyebar fitnah

MENURUT satu catatan, apabila Abdullah bin Ubay mendapat tahu mengenai ayat-ayat yang diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW itu yang mencela perbuatan munafiknya, salah seorang kawannya berkata kepadanya: "Pergilah kamu meminta maaf dan ampun dari Rasulullah supaya baginda mengampuni kesalahan kamu."

Tetapi tahukah anda apa yang dijawab oleh Abdullah bin Ubay ini? "Sekiranya kamu memerintahkan aku percaya kepada Muhammad, aku sudah pun percaya. Sekiranya kamu memerintahkan aku memberikan hartaku kepadanya, aku sudah memberikannya. Maka tidak ada apa lagi yang tinggal sekarang, melainkan kamu meminta supaya aku sujud kepada Muhammad? Sama sekali tidak."

Demikian kata-kata angkuh dan sombong Abdullah bin Ubay sambil mengejek Rasulullah.

Dalam sebuah kisah yang lain, anaknya, Khubab menemui baginda yang ketika itu sedang minum bagi melepaskan dahaga. Khubab pun berkata: "Ya Rasulullah, demi Allah, tidakkah tuan sudi meninggalkan sedikit air yang tuan minum ini? Daripada air sisa tuan ini akan saya berikan kepada bapa saya supaya dia pula minum air tersebut. Mudah-mudahan dengan minum air sisa tuan ini, bapa saya dibersihkan hatinya oleh Allah".

Baginda pun menunaikan permintaan Khubab lalu si anak pun segera membawa air tersebut kepada si bapa dan diminta bapanya itu supaya segera minum air tersebut.

Namun Abdullah pun bertanya: "Air apakah ini?"

Si anak pun menjawab: "Ini adalah air sisa minuman Rasulullah yang sengaja saya bawa kepada bapa supaya bapa sudi meminumnya. Dengan demikian, semoga Allah membersihkan hati bapa".

Dalam nada yang terkejut dan marah, Abdullah pun menjawab: "Mengapa kamu tidak datang kepada aku dengan membawa air kencing ibu kamu sahaja? Ini kerana tahukah kamu bahawa air kencing ibu kamu itu lebih bersih daripada air sisa Muhammad itu".

Mendengarkan bapanya berkata begitu, Khubab berasa sangat marah dan beliau terus mengadu kepada Nabi Muhammad dan berkata: "Ya Rasulullah, tolonglah benarkan saya membunuh bapa saya yang jahat itu".

Namun baginda menjawab: "Hendaklah kamu berkawan dengan bapa kamu itu dan berbuat baiklah dengannya".

Fitnah Abdullah bin Ubay tidak habis di situ sahaja malah dengan turunnya ayat-ayat mengenai sifat-sifat munafik itu sedikit pun tidak memberi kesan kepadanya.

Ini kerana tersebarnya satu lagi fitnah darinya, yang kali ini adalah lebih dahsyat.

Fitnah kedua yang tersebar luas angkara perbuatan Abdullah bin Ubay, apabila dia menyebarkan kononnya isteri kesayangan baginda, Siti Aishah r.a melakukan hubungan sumbang dengan lelaki lain.

Kisahnya apabila baginda menjadi ketua tentera Islam yang hendak menyerang kabilah Bani Musthaliq itu. Antara isteri baginda yang turut serta adalah Ummu Salamah dan Siti Aishah.

Sudah menjadi kebiasaan baginda akan mengadakan undian sebagai satu cara yang adil untuk menentukan isteri mana yang terpilih mengikut baginda untuk satu perjalanan yang jauh. Sesiapa yang terpilih namanya, maka dialah yang akan bersama dengan baginda.

Setelah undian, nama Ummu Salamah dan Siti Aishah terpilih berangkat untuk bersama menyerang Bani Musthaliq itu.

Setelah berjaya dalam misi menyekat Bani Musthaliq daripada menyerang Madinah, pasukan tentera Islam pun berangkat pulang dengan singgah untuk berhenti rehat di satu tempat.

Dalam perjalanan itu, isteri-isteri nabi lazimnya diletakkan di atas haudaj atau tandu yang ditutup dengan kelambu dan diletakkan di atas unta. Apabila hendak naik ke atas unta itu, para isteri baginda perlu masuk ke dalam haudaj terlebih dahulu kemudian barulah haudaj itu akan dinaikkan ke atas belakang unta.

Siti Aishah pada masa itu, mempunyai bentuk badan yang kurus dan kecil sahaja sehingga orang yang mengangkat haudajnya hampir-hampir tidak merasa berat badannya walaupun beliau berada di dalamnya.

Ketika berhenti di tempat untuk berehat itu, hari telah larut malam. Siti Aishah terpaksa keluar dari haudajnya kerana hendak membuang air. Kemudian dia kembali masuk ke dalam haudaj dan menunggu untuk dinaikkan ke atas unta. Akan tetapi baru dia sedar seutas kalung kesayangan yang diperbuat dari urat kayu dafa yang dipakainya telah tercicir.

Mencari kalung

Siti Aishah pun keluar dari haudaj dan mencari semula kalungnya itu.

Setelah menemui semula kalungnya itu, Siti Aishah pun berlari-lari anak untuk segera masuk ke dalam haudajnya. Rupa-rupanya sepeninggalan beliau mencari kalungnya itu, semua anggota tentera yang lain termasuk Rasulullah telah meninggalkan tempat tersebut bagi meneruskan perjalanan ke Madinah.

Unta yang dinaiki oleh Siti Aishah juga telah tiada kerana mereka mungkin menyangka isteri baginda telah ada dalam tandunya itu.

Tinggallah Siti Aishah seorang diri di tengah-tengah kegelapan malam. Pada mulanya beliau ingin mengejar rombongan tersebut tetapi oleh kerana keadaan yang begitu gelap Siti Aishah bimbang akan sesat.

Lalu beliau pun mengambil keputusan menunggu sahaja di tempat beliau ditinggalkan itu dan berharap mereka akhirnya sedar akan ketiadaannya dan akan berpatah balik untuk mengambilnya semula.

Oleh kerana terlalu letih dan mengantuk, Siti Aishah pun tertidur.

Telah menjadi kebiasaan, apabila tentera Islam kembali daripada mana-mana peperangan, seorang dari anggota tentera akan ditugaskan untuk berjalan di belakang sekali.

Ini bagi memastikan keselamatan anggota tentera lain yang di hadapan terjamin di samping bagi memastikan tiada apa-apa yang tercicir.

Kali ini tugas yang seperti ini diserahkan kepada seorang pemuda, Shafwan bin Mu'aththal.

Shafwan yang berjalan di belakang tentera Islam akhirnya tiba di tempat mereka berehat itu dan beliau sangat terkejut kerana dari jauh berbalam-balam beliau nampak akan bayang seseorang yang sedang tidur.

Lalu Shafwan pun mendekati orang tersebut dan alangkah terkejutnya dia apabila mendapati orang yang sedang tidur itu adalah isteri Rasulullah, Siti Aishah.

Sehingga dia mengucapkan: Inna lillaahi wa innaa ilaihi raajiun.

Ucapan tersebut menyebabkan Siti Aishah sendiri terkejut daripada tidurnya dan dengan segera dia pun bingkas bangun.

Shafwan pun merendahkan untanya dan memberi isyarat supaya Siti Aishah naik ke atas untanya itu. Dikatakan mereka langsung tidak bercakap walaupun sepatah pun kerana demi menghormati kedudukan Siti Aishah sebagai isteri kepada Rasulullah.

Shafwan kemudiannya hanya berjalan kaki sambil memegang tali dan membawa unta yang dinaiki oleh Siti Aishah itu dan cuba mengejar semula rombongan anggota tentera Muslim.

Sehinggalah hari menjelang siang, akhirnya Shafwan dan Siti Aishah pun bertemu semula dengan rombongan tentera Islam yang kebetulan berhenti rehat di suatu tempat.

Ketibaan Shafwan dan Siti Aishah menyebabkan mereka yang lain turut terkejut dan akhirnya mereka menyedari apa yang berlaku dan tidaklah timbul sebarang masalah apatah lagi untuk menyebarkan sebarang fitnah.

Namun tidak kepada Abdullah bin Ubay, yang menyaksikan kehadiran Shafwan dan Siti Aishah itu memberikan satu ilham kepadanya untuk menimbulkan fitnah yang besar.

"Demi tuhan, tentu Aishah tidak selamat bersama Shafwan dan Shafwan sendiri juga tentu tidak selamat daripada Aishah.

"Lihatlah isteri seorang Nabi didapati bermalam dengan seorang lelaki sampai waktu pagi hari," kata Abdullah bin Ubay yang mula menyebarkan fitnah-fitnah terhadap isteri baginda itu dari perjalanan pulang sehinggalah setibanya mereka di Madinah.

Kebetulan pula Siti Aishah jatuh sakit sebulan lamanya, sepanjang dalam tempoh tersebut fitnah yang tersebar semakin menjadi-jadi!

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url