ADUN Johol meninggal dunia


KUALA PILAH: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johol, Datuk Roslan Md Yusof (gambar), 58, yang menghidap kanser prostat sejak lebih dua tahun lalu meninggal dunia di Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini, pagi semalam.
Allahyarham dimasukkan ke HTAN Ahad lalu, selepas keadaan kesihatannya bertambah kritikal dan menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.45 pagi.
Allahyarham meninggalkan isteri, Datin Zawayah Marzuki, 53, dan lapan anak berumur antara 17 hingga 28 tahun.

Zawayah berkata, suaminya sejak seminggu lalu tidak begitu sihat dan dibawa ke HTAN Jumaat lalu untuk menjalani pemeriksaan.

“Bagaimanapun, pada Ahad, keadaannya semakin teruk hingga saya dan adik beradik lain memujuknya supaya pergi semula ke hospital.

“Arwah enggan dan beritahu dia sihat. Dia kata, buat apa? Saya sihat! Malah dia menyatakan hasratnya untuk membawa ibunya menunaikan umrah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Berambai dekat sini, semalam.
Zawayah berkata, keengganan Allahyarham ke hospital menyebabkannya menghubungi Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang kemudian datang pada malam itu.

Katanya, Roslan selepas dinasihati Menteri Besar bersetuju ke hospital pada lewat malam berkenaan, tetapi keadaannya semakin kritikal hingga meninggal dunia, pagi semalam.

Jenazah Roslan disembahyangkan di Masjid Jamek Pekan Johol selepas Zuhur dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Chabang Dua, Johol.

Antara pemimpin yang hadir menziarahi keluarga Allahyarham, termasuk Menteri Besar dan Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor.

Roslan yang juga Naib Ketua UMNO bahagian Kuala Pilah memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johol pada Pilihan Raya Umum 2004. Pada pilihan raya umum lalu, beliau mengalahkan calon PAS, Kamarudin Md Tahir dengan majoriti 1,263 undi.

Pada 2009, beliau mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika bermain badminton menyebabkan tulang belakangnya cedera dan menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) bagi membetulkan tulang belakangnya awal tahun ini.

Speaker DUN Negeri Sembilan Datuk Razak Mansor, berkata beliau akan menyerahkan surat makluman kekosongan DUN Johol kepada SPR negeri.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url