Cemerlang dengan berpaksikan agama

Oleh S. SALAHUDIN SUYURNO

BERAGAMA adalah fitrah manusia. Islam sebagai sebuah agama atau al-din kerap dirujuk sebagai way of life atau cara hidup yang syumul lagi lengkap.

Ia turut dirujuk sebagai akhlak terpuji. Ini memberi implikasi yang sangat besar dalam kehidupan seharian manusia. Ketika bermuamalah, elemen akhlak menjadi satu keutamaan.

Justeru sistem akhlak yang dipandu oleh agama adalah keperluan asasi bagi setiap insan yang bernama manusia.

Agama mengajar segala pokok kebaikan, malah ia juga merupakan asas bagi membina masyarakat dan negara. Agama tidak boleh dipisahkan daripada kehidupan sosial manusia.

Islam sebagai agama samawi bertujuan melahirkan masyarakat yang sempurna dalam segala aspek kehidupan manusia.

Islam juga mempertahan nilai-nilai terpuji, pendinding daripada perbuatan keji, membebaskan diri daripada krisis sosial, moral dan kegelisahan jiwa.

Justeru, tidak hairanlah bagi mana-mana kelompok atau individu yang tersasar dari landasan agama, maka hidup mereka penuh dengan segala macam kecelaruan.

Ini dibuktikan dalam banyak peristiwa dan sejarah silam kewujudan manusia. Kaum 'Ad dan Thamud misalnya, hancur kerana tersasarnya mereka daripada landasan agama yang sebenar.

Hidup tanpa pedoman agama, mencetuskan sikap tidak mengambil berat tentang akhlak. Inilah menjadi punca kepada setiap krisis yang dihadapi oleh manusia.

Lihat sahaja aspek kekeluargaan, jika panduan agama tidak diaplikasikan maka akan lahirlah keluarga yang pincang.

Begitu juga dalam dunia perniagaan jika agama tidak dipegang maka berlakulah elemen monopoli, rasuah, penipuan dan penganiayaan.

Bagaimana peranan agama dalam menangani perbezaan pandangan? Jika panduan agama tidak diikuti akan lahirlah nanti sebuah kelompok yang asyik cuba memenangkan kelompoknya sahaja walaupun ia sedar mereka berada di pihak yang salah.

Pertimbangan dosa dan pahala tidak lagi menjadi keutamaan. Persoalan syurga dan neraka sudah seperti tidak relevan.

Seharusnya disedari bahawa agama bukan hanya memelihara hubungan baik antara manusia dengan Tuhan, malah ia mengatur hubungan sesama manusia.

Islam mengajar kepada kebaikan dan kebahagiaan dunia dan akhirat. Ia mengajar manusia agar mempunyai hati yang bersih, menjauhkan diri daripada kemungkaran dan kejahatan.

Ajaran agama seperti menghayati konsep syukur, berhemah, bertakwa dan berusaha membaiki kelemahan diri bagi mencapai keredaan Allah SWT jika dihayati dan diaplikasi dalam hidup maka akan lahirlah kesempurnaan dan kecemerlangan yang dicari.

Oleh sebab itu, sebagai muslim mereka dituntut agar memahami makna akidah, ibadah dan akhlak supaya wujud keseimbangan dalam hidup. Muslim sebenar mengerti matlamat penciptaan dan kejadian mereka.

Mereka memahami erti duniawi dan erti ukhrawi. Mereka sedar betapa kehebatan manusia tidak dapat difahami dalam erti kata sebenar tanpa merujuk kepada agama.

Seorang sarjana tersohor iaitu Seyyed Hossein Nasr, menyatakan bahawa perkataan agama atau religion berasal dari perkataan religio yang bermaksud mengikat, iaitu mengikat manusia kepada kebenaran.

Justeru, kebenaran yang hakiki hanya akan difahami jika panduan Islam dituruti. Oleh itu maksud beragama bagi seorang muslim, boleh dirujuk kepada individu atau kumpulan yang berpegang dengan kebenaran Islam serta ia dijadikan peraturan dalam setiap kelakuan mereka.

Muslim yang sedar dan faham akan mengerti bahawa Islam adalah agama samawi, ia meningkatkan kualiti kehidupan.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya (Muhammad) dengan membawa petunjuk dan agama yang benar (agama Islam), untuk dimenangkan dan ditinggikannya atas segala agama yang lain, Walaupun orang-orang musyrik tidak menyukainya. (at-Taubah: 33)

Secara fitrah, setiap insan sememangnya cenderung kepada agama. Mereka menyahut seruan batin secara semula jadi, mengakui bahawa ada Tuhan Yang Maha Agung.

Oleh itu, Islam memperteguh kekuatan roh manusia dan membentuk mereka menjadi yang baik dan jauh dari kejahatan.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url