Graduan Perlu Bina Keterampilan Diri Berdepan Globalisasi - Tengku Abdullah

KUANTAN: Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu para graduan membina keterampilan diri bagi berdepan suasana globalisasi yang penuh dengan persaingan.

Tengku Abdullah, yang juga Canselor Universiti Malaysia Pahang (UMP), bertitah kepintaran akal semata-mata bukan tiket mudah untuk mendapat pekerjaan.

"Di era ini, keterampilan diri dan budaya yang cemerlang adalah nilai tambah dan input pekerja yang biasanya diukur oleh para majikan.

"Saban tahun bilangan graduan akan bertambah dan sudah pasti hanya mereka yang benar-benar berpengetahuan, berkemahiran dan berketerampilan akan lebih senang mendapat pekerjaan," titah baginda pada majlis konvokesyen keenam UMP di sini, Sabtu.

Justeru, baginda bertitah penyediaan graduan berkualiti bagi menampung tenaga kerja profesional dalam pelbagai bidang perlu bermula sebelum mereka melangkah ke alam pekerjaan.

Titah baginda, pelaksanaan pelan strategik UMP 2011-2015 dilihat selari dalam hasrat melahirkan para graduan bersifat profesional unggul yang bersesuaian dengan keperluan guna tenaga negara.

Selain itu, Tengku Abdullah bertitah kolaborasi antara UMP dengan universiti antarabangsa yang tersohor mampu menyediakan program-program yang relevan dengan keperluan industri.

Pada majlis konvokesyen itu, baginda berkenan menyampaikan ijazah dan diploma kepada 1,290 graduan UMP.

Daripada jumlah itu, 10 graduan menerima ijazah kedoktoran, 26 (ijazah sarjana), 866 (ijazah sarjana muda) dan 389 (diploma) meliputi lapan pusat pengajian antaranya Fakulti Kejuruteraan Kimia & Sumber Asli, Fakulti Kejuruteraan Awam dan Sumber Alam, Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik dan Fakulti Sistem Komputer & Kejuruteraan Perisian.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url