Hentian Bas Klang Ditutup Mulai 1 Nov 2011

Hentian Bas Kelang atau kini lebih dikenali dengan nama Pasarama Kota akan ditutup bermula 1 November ini untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan projek My Rapid Transit (MRT) dijalankan di situ.

Semua operasi perkhidmatan bas dari terminal tersebut akan dihentikan selepas pelepasan terakhir pada 31 Oktober dan akan memulakan operasi perkhidmatan mereka dari lokasi baru pada 1 November.

Syarikat bas yang beroperasi dari Jalan Sultan berhampiran Pasarama Kota juga terlibat dalam penutupan dan penempatan semula ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD),butiran syarikat-syarikat bas yang terlibat dalam penempatan semula perkhidmatan ini adalah seperti berikut:

> Syarikat bas Cityliner yang menuju ke Klang dan Banting akan berpindah ke Pudu Sentral;

> Syarikat bas Causeway Link yang menuju ke Klang dan Pelabuhan Klang juga akan berpindah ke Pudu Sentral.

> Syarikat bas Seranas/Wawasan Sutera yang menuju ke Klang dan Pelabuhan Klang akan berpindah ke Pudu Sentral dari Jalan Sultan Mohamed;

> Perkhidmatan bas Rapid KL yang menuju ke Klang akan berpindah ke Pudu Sentral manakala perkhidmatan ke Subang Mewah, Putra Heights, Taman Medan, Sri Manja, Sri Petaling, Taman Desa, Taman OUG, Petaling Jaya Old Town semuanya akan berpindah ke Jalan Sultan Mohamed (di luar Pasarama Kota).

Kesemua penumpang perkhidmatan bas yang ingin ke Klang, Pelabuhan Klang dan Banting dikehendaki menaiki bas di Pudu Sentral bermula 1 November 2011.

Bas-bas berkenaan tidak dibenarkan mengambil penumpang dari mana-mana hentian bas di pusat bandaraya.

Maklumat lanjut berkenaan lokasi penempatan semula perkhidmatan bas ini akan dikeluarkan dalam masa terdekat.

Menurut kenyataan itu lagi, penutupan Pasarama Kota adalah untuk membolehkan kerja-kerja pembinaan stesen MRT Pasar Seni bawah tanah yang baru.

Stesen MRT Pasar Seni baru ini akan berintegrasi dengan stesen LRT Pasar Seni yang sedia ada, di mana pengguna perkhidmatan LRT dapat menukar kepada perkhidmatan MRT atau sebaliknya tanpa meninggalkan stesen dan tanpa keperluan untuk membeli tiket baru.

Terminal bas yang baru akan dibina semula di tapak yang sama apabila projek MRT ini selesai, dijangkakan pada tahun 2016.

Kata kenyataan itu, segala kesulitan yang timbul daripada penutupan terminal bas ini adalah amat dikesali dan tidak dapat dielakkan.

Ia adalah untuk membolehkan satu sistem pengangkutan awam yang moden dan bertaraf antarabangsa dapat dibina bagi kemudahan masa hadapan para pengguna Lembah Klang.

- MSTAR
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url