Briged Sukarela PLKN Akan Dilancarkan Pada 2012

Briged Sukarela Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) yang berfungsi untuk menjalankan pelbagai kerja sukarelawan, dijangka dilancarkan pada Februari 2012.

Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata penubuhan Briged Sukarela PLKN yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, sedang dalam proses perbincangan.

"Kami telah berbincang dengan pihak Kementerian Pertahanan dan sekiranya semua berjalan dengan lancar, pelancaran briged itu akan berlangsung Februari tahun depan," katanya kepada pemberita selepas melawat Kem PLKN White Resort di Balik Pulau di Pulau Pinang, Rabu.

Beliau berkata briged sukarela itu boleh digunakan untuk membantu dalam kejadian malapetaka atau bencana alam seperti banjir, tanah runtuh atau kebakaran.

Ketika melancar perhimpunan 'Kami Anak 1Malaysia' di Stadium Hoki Bukit Jalil di Kuala Lumpur Jumaat lepas, Najib mengumumkan bahawa kerajaan akan mewujudkan Briged Sukarela PLKN yang akan membabitkan 500,000 bekas pelatih.

Abdul Hadi berkata perkara berkaitan operasi, prosedur dan kewangan briged tersebut akan berpusat di kem-kem PLKN di seluruh negara.

"Briged sukarela itu akan berpusat di 81 kem di seluruh negara dan saya berharap setiap bekas pelatih PLKN akan menyertai briged ini kerana ini adalah satu briged sukarela khas untuk pelatih PLKN," katanya.

Beliau berkata sejak dilaksanakan pada 2004, PLKN berjaya melatih kira-kira 580,000 pelatih.

Terbaru, adalah Kumpulan 3 2011 yang terdiri daripada 18,000 pelatih seluruh negara.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url