Masjid terapung mercu tanda baru Perlis
KANGAR 9 Okt. - Masjid Terapung Al-Hussain, mercu tanda baharu di negeri ini dirasmikan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail malam tadi.
Masjid yang terletak di muara Sungai Perlis dengan dewan solatnya menganjur ke laut itu berharga kira- kira RM12 juta dan mampu menampung sehingga 1,000 jemaah pada satu-satu masa.
Raja Perlis ketika bertitah merasmikan masjid itu, berharap masjid itu dimakmurkan dengan pelbagai kegiatan yang boleh menggamit minat generasi muda.
Baginda bertitah, selama ini hanya golongan tua lebih ramai mengunjungi masjid berbanding generasi muda dan yang demikian kegiatan yang boleh memikat mereka perlu dilaksanakan.
Raja Perlis juga mengingatkan pegawai masjid supaya sentiasa berpegang kepada amalan Sunnah Wal Jamaah dalam melaksanakan tanggungjawab mereka, di samping menjaga keindahan dan kebersihan masjid.
Baginda juga berharap lebih ramai pihak tampil untuk memberi sumbangan bagi membina lebih banyak lagi masjid di Perlis yang kini berjumlah 104 buah.
Pembinaan masjid berkenaan yang terletak di kawasan laluan pelancong ke Pulau Langkawi ditaja seorang ahli perniagaan, Tan Sri Mohd. Ariffin Yusof dan keluarganya.
Mohd. Ariffin dalam ucapannya berkata, masjid itu menyalakan lampu di menara kembarnya pada waktu malam dan subuh bagi menandakan masuk waktu solat untuk panduan orang ramai khususnya nelayan.
Katanya, lampu warna biru akan nyalakan bagi waktu subuh dan maghrib dan hijau bagi waktu isyak manakala sebelah siang lampu tidak dinyalakan.
Turut berangkat ke majlis itu ialah Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam Perlis, Jafperi Othman.
— BERNAMA