Rakyat diseru patuhi etika ketika melayari internet

KOTA KINABALU: Rakyat di negara ini diseru untuk mematuhi etika ketika melayari internet dan tidak melakukan kesalahan jenayah siber.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Maglin Dennis D'Cruz mahu ibu bapa memantau penggunaan internet oleh anak-anak mereka menerusi telefon bimbit dan komputer peribadi.

"Kita mahu elak perkara yang tidak diingini berlaku," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Kempen Budi Bahasa dan Promosi Jalur Lebar dan pelancaran buku 'Cermin Kehidupan' tulisan Datuk Raya Erom yang juga pengerusi Yayasan Kebajikan Suria di Suria Sabah Mall di sini, hari ini.

Maglin berkata, kerajaan merancang pelbagai program untuk memastikan setiap rakyat faham tentang pentingnya kemudahan jalur lebar yang boleh memperbaiki taraf hidup rakyat khususnya di Sabah.

Beliau berkata, kemudahan jalur lebar membolehkan rakyat menjelajah ke dunia tanpa sempadan atau alam siber bagi mencari maklumat, pendidikan, perniagaan, hiburan, perubatan dan transaksi perbankan dengan begitu mudah dan pantas.

Mengenai kempen budi bahasa, Maglin berkata nilai-nilai budi bahasa di kalangan masyarakat kini semakin terhakis ekoran kepesatan pembangunan dan kemajuan teknologi yang dinikmati sekarang.

"Masyarakat dilihat semakin mementingkan diri sendiri sehingga terlupa kepada nilai-nilai budi bahasa yang menjadi sanjungan dan amalan kita selama ini," katanya.

Maglin berkata, kementerian amat menggalakkan penulisan buku di kalangan rakyat yang menurutnya dapat menambah lagi pengetahuan dan kesedaran kepada orang ramai selain dapat memenuhi kehendak masyarakat.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url