UMT digesa proaktif dalam penyelidikan


KUALA TERENGGANU 1 Okt. - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) perlu mengambil langkah proaktif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan bagi memastikan negara dan masyarakat tidak terpinggir daripada arus pemodenan perdana.

Raja Permaisuri Agong yang juga Tuanku Canselor UMT, Tuanku Nur Zahirah bertitah, langkah itu bukan sahaja sebagai sumbangan kepada transformasi negara, malah kepada transformasi komuniti setempat.

Baginda turut berharap supaya universiti itu terus gigih dalam mengekalkan serta meningkatkan kejayaan bagi mencapai taraf universiti penyelidikan yang setanding dengan universiti terkenal lain di dunia.

Titah baginda, dalam usaha mengejar arus pemodenan perdana, pelbagai isu sosial sering melanda masyarakat khususnya golongan remaja dan ia perlu beri perhatian serius demi masa depan negara.

"Dalam konteks ini, beta meletakkan harapan tinggi agar universiti dapat memainkan peranan lebih terencana dalam merungkaikan masalah ini," titah baginda.

Tuanku Nur Zahirah bertitah demikian pada majlis Konvokesyen UMT ke-9 di Dewan Sultan Mizan di kampus universiti itu di Gong Badak dekat sini hari ini.

Dalam titah ucapan itu baginda turut berpesan kepada para graduan agar sentiasa menjaga nama baik universiti, tidak kira di mana berada memandangkan mereka adalah duta kepada universiti itu.

Baginda bertitah, universiti merupakan institusi penjanaan ilmu dalam merencanakan pembangunan modal insan selain pemacu kepada kecemerlangan penyelidikan dan pembangunan.

"Beta berbangga dengan pencapaian UMT hari ini dalam pelbagai bidang sama ada peringkat nasional atau antarabangsa, walaupun universiti ini masih baru," titah tuanku Nur Zahirah.

Seramai 1,736 graduan menerima sarjana, sarjana muda serta diploma pada majlis konvokesyen selama dua hari yang berakhir esok.

Pada majlis itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut dikurniakan Anugerah Doktor kehormat Sains, anugerah tertinggi UMT atas jasa serta sumbangan besar beliau kepada negara.

- MINGGUAN MALAYSIA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url