Hubungan sejenis bawa murtad: Mufti
Katanya, hubungan sejenis atau songsang ditegah dalam Islam kerana ia membawa kepada pupusnya manusia sejagat.
Beliau berkata, Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah juga menasihatkan umat Islam supaya tidak terpengaruh serta terbabit dengan aktiviti tidak sihat atau program songsang yang dianjurkan pihak tertentu di negara ini.
Katanya, titah terbabit disampaikan baginda dalam satu majlis di negeri ini baru-baru ini bertujuan sebagai peringatan.
“Oleh itu, sebagai mufti menjadi tugas saya memberi nasihat kepada rakyat negeri ini supaya tidak terpengaruh dengan aktiviti songsang serta dilarang agama sebaliknya banyakkan beribadah serta mengimarahkan masjid.
“Saya juga bimbang jika tidak diberi nasihat, umat Islam akan terus hanyut melakukan perkara atau aktiviti yang merosakkan akidah,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Abdul Rahman mengulas penganjuran Seksualiti Merdeka 2011 yang dikecam dan mendapat bantahan meluas pelbagai pihak termasuk wakil agama di dalam negara.
Katanya, umat Islam negeri ini yang terbabit dengan program seumpama itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 169 Enakmen Pentadbiran Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 iaitu tidak mematuhi arahan pihak berkuasa agama yang boleh dikenakan hukuman denda RM1,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya.
“Saya menyeru umat Islam supaya tidak turut serta dan membantah program seumpama itu kerana sebagai orang Islam kita mengetahui sesuatu perkara mungkar akan tetap mungkar, ” katanya.
Abdul Rahman juga menolak tanggapan pihak tertentu yang mendakwa kenyataan dikeluarkan mufti berhubung isu Seksualiti Merdeka bermotifkan politik sebaliknya apa yang diluahkannya atas sebab menjaga kesucian agama.
Selain itu, katanya, ibu bapa juga perlu memainkan peranan bagi memastikan anak mereka tidak terbabit dengan program yang memperjuangkan sesuatu yang bertentangan dengan agama.
Mengenai penganjuran konsert artis antarabangsa Elton John pada 22 November ini, beliau menasihatkan umat Islam untuk tidak menyertainya.
“Saya bimbang konsert itu akan memberi kesan negatif kepada masyarakat khususnya remaja," katanya.
- BERITA HARIAN