Jangan Terpedaya Sindiket Pendaftaran Bantuan RM500 - LHDN

Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) memberi peringatan kepada pemohon Program Bantuan RM500 agar tidak terpedaya dengan sindiket pendaftaran permohonan bantuan palsu yang dipercayai sedang mengambil peluang sekarang ini.

Pegawai Perhubungan Awam LHDN, Masrun Maslim berkata pihak yang tidak bertanggungjawab tersebut telah mula mengedarkan malah menjual borang permohonan palsu sedangkan borang permohonan sebenar masih belum dikeluarkan lagi dan pendaftaran adalah percuma.

"Borang Permohonan Bantuan RM500 tersebut sedang dalam proses akhir penyediaan dan akan diedarkan ke setiap Pejabat LHDN seluruh negara serta boleh dimuatnaik di laman sesawang rasmi LHDNM sebaik sahaja siap.

"Mekanisme pengagihan bantuan dimuktamadkan oleh Kementerian Kewangan dan setakat ini kami belum melantik mana-mana pihak bagi urusan pendaftaran permohonan bantuan RM500 ini," katanya dalam kenyataan hari ini.

LHDN berharap penjelasan ini dapat membantu orang ramai daripada terpedaya oleh sebarang sindiket penipuan yang berkaitan dan LHDN juga tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kerugian yang ditanggung oleh orang ramai akibat penipuan ini.

Belanjawan 2012 memperuntukkan RM500 bagi setiap isirumah dengan pendapatan kurang daripada RM3,000 setiap bulan.

Untuk menuntut wang ini, mereka perlu mengisi borang yang boleh didapati di pejabat terdekat LHDN.

- BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url