Hak asasi tak boleh melangkaui agama - Peguam Syarie
SEKSUALITI Merdeka adalah acara tahunan mengenai hak seksualiti yang pernah diadakan di Kuala Lumpur, dengan kerjasama gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta beberapa individu. Antara acara diadakan ialah bengkel, perbincangan, tayangan filem dan penulisan surat.
Penganjur program ini percaya golongan gay, lesbian, biseksual dan transgender berhak bebas daripada diskriminasi serta keganasan, berhak menyayangi dan disayangi dengan mengutarakan prinsip terkandung dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948 dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang ditandatangani Malaysia.
Walaupun fasal Perlembagaan Persekutuan menjamin kesamarataan untuk semua warga Malaysia dari segi undang-undang dan perlindungan dari diskriminasi atas dasar gender, kebebasan bersuara dan berpersatuan, namun dalam konteks perlembagaan, Islam sebagai agama Persekutuan perlu diambil kira.
Tidak seperti negara lain, Perlembagaan Negara berpaksikan kepada agama (Perkara 3 (1)).
Kebanyakan agama di dunia melarang aktiviti seks bebas dan seks sesama jantina. Hak asasi tidak boleh melangkaui kehendak agama, kerana agama yang membezakan manusia dengan binatang.
Hak asasi yang ditaja Barat bersandarkan ideologi humanisme atau individualisme, hak asasi menurut Islam bersandarkan kepada wahyu Allah SWT.
Apa yang logik pada akal fikiran tidak semestinya sesuai dan dibenarkan agama. Mungkin pada akal mereka logik bagi seseorang mempunyai naluri menyukai sesama jantina, namun naluri itu perlu dibatasi dan diimbangi oleh agama.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Untuk setiap umat di antara kamu, Kami berikan peraturan dan jalan yang terang. Sekiranya Allah menghendaki, nescaya kamu dijadikan-Nya satu umat (saja), tetapi Allah hendak menguji kamu terhadap pemberian-Nya kepadamu, maka berlumbalah membuat kebajikan. Hanya kepada Allah kamu akan kembali semuanya, lalu diberitahukan-Nya kepadamu apa yang telah kamu perselisihkan itu.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 48)
Sebagai seorang Islam, kita haruslah berpegang teguh dengan lima Rukun Islam dan enam Rukun Iman. Jika percaya kepada Allah, rasul, malaikat, hari kiamat dan qada qadar Allah, maka kita hendaklah mengerjakan segala suruhan serta menjauhi segala larangan.
Jika Allah SWT melarang sesuatu perbuatan, maka ia haram, tidak kira apa naluri kita mahu dan apa kehendak akal fikiran. Amat malang jika orang Islam terbabit dalam program Seksualiti Merdeka.
Lebih malang apabila golongan beragama Islam menggunakan forum dan perantara bukan Islam untuk memperjuangkan apa yang dikatakan ‘hak’ bagi mereka.
Program ini pernah diadakan dan mempunyai pengikut kalangan orang Islam. Buktinya, ada orang Islam yang menyokong penganjuran program berkenaan seperti tersiar di laman web. Persoalannya, di mana kita semasa program ini dianjurkan dulu?
Sudah tiba masanya pihak berkuasa Islam negara memikirkan jalan terbaik untuk menyelesaikan masalah ini daripada berterusan. Jabatan Agama Islam perlu ditubuhkan satu unit atau bahagian khusus bertugas memantau dan membendung masalah gay, lesbian, biseksual dan transgender.
Usaha mendekati golongan ini perlu dilakukan dengan memberi khidmat nasihat, bimbingan serta mengajak mereka kembali ke jalan kebenaran. Bagi yang berdegil, usaha penguatkuasaan undang-undang mengikut undang-undang jenayah syariah hendaklah dilakukan.
Menghukum mungkin tidak boleh memulihkan golongan maka hukuman alternatif boleh diguna pakai seperti ditahan di rumah pemulihan akhlak untuk tempoh tertentu tidak melebihi enam bulan atau mengikat bon untuk berkelakuan baik selama tempoh tidak melebihi tiga tahun.
- BERITA HARIAN