Mahasiswa tidak digalak sertai organisasi politik
Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof. Dr. Aini Ideris berkata, pelajar perlu bijak menilai peranan dan kuasa yang dimiliki mereka bagi mengelak dieksploitasi oleh pihak berkepentingan.
"Tidak dinafikan, ada segelintir pihak yang akan menggunakan kebebasan bersuara yang dimiliki mahasiswa universiti sekiranya Seksyen 15 Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1974 dipinda kerana mereka tahu majoriti pengundi di negara ini adalah pelajar," katanya kepada pemberita selepas acara penutup program Kem Pendidikan Alam Semulajadi Kebangsaan 2011 dekat sini hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada keputusan kerajaan untuk meminda Seksyen 15 AUKU 1974 bagi membenarkan mahasiswa yang berusia 21 tahun aktif menjadi ahli dalam parti politik.
Dalam usaha membina jati diri mahasiswa yang berdaya intelektual serta berfikir secara kritis seiring falsafah pendidikan negara, Aini berkata, mereka digalakkan menyertai aktiviti berbentuk akademik yang dijalankan pihak universiti selain menganjurkan sendiri aktiviti sedemikian.
"Penganjuran aktiviti yang berteraskan akademik adalah lebih praktikal sekali gus dilihat selaras dengan peranan sampingan pelajar untuk mempelajari dan memahami resam idealisme politik negara masa kini," ujarnya.
- UTUSAN