Maktab Koperasi Malaysia peneraju transformasi modal insan koperasi

GERAKAN koperasi telah bermula sejak sebelum merdeka. Sesuai dengan kepentingannya, ia kini diiktiraf sebagai antara penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sebab itu kerajaan menyasarkan koperasi dapat menyumbang lima peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2013 dan 10 peratus pada 2020.

Tetapi untuk mencapai hasrat itu gerakan koperasi memerlukan modal insan yang berkualiti supaya urus tadbirnya berjalan lancar dan mengikut lunas-lunas yang telah ditetapkan.

Tentunya ramai yang tidak sedar bahawa peranan untuk memastikan koperasi di tadbir oleh insan-insan yang berkualiti dan berpengetahuan terletak pada bahu Maktab Koperasi Malaysia (MKM).

Kewujudan MKM juga bukan baru. Pada mulanya ia dikenali sebagai Maktab Kerjasama Malaysia yang dirasmikan oleh Penasihat Hal Ehwal Koperasi kepada Setiausaha Tanah Jajahan, B.J. Surridge pada 13 November 1956.

Ketika itu ia terletak di tapak seluas kira-kira 2.5 hektar di Seksyen 7, Jalan Templer, Petaling Jaya.

Ia ditadbir oleh Lembaga Jemaah Penasihat yang dilantik oleh gerakan koperasi di Persekutuan Tanah Melayu dan Singapura. Mereka dipertanggungjawabkan merangka dan menggubal perlembagaan dengan Datuk Abdul Majid Mohamed dilantik sebagai Pengetua Maktab yang pertama.

Pada tahun pertama beroperasi, hanya tiga kursus diadakan iaitu Kursus Pegawai Koperasi, Kursus Penyelia Koperasi dan Kursus Pemimpin Koperasi Luar Bandar.

Peserta kursus tersebut yang aktif dilantik oleh Jabatan Pembangunan Koperasi (JPK) sebagai Pegawai Koperasi Kehormat untuk membantu Pegawai Koperasi mengendalikan koperasi di luar bandar.

Bermula tahun 1958, beberapa kursus baru ditambah seperti kursus untuk pemimpin Melayu, kursus untuk pekerja koperasi pengguna dan kursus untuk koperasi Cina.

Kursus khas untuk wanita juga diadakan kerana mereka adalah tonggak ekonomi rumah tangga. Selain itu, turut diperkenalkan kursus untuk jawatankuasa koperasi dalam bandar, koperasi nelayan, koperasi kredit, koperasi pengguna dan kursus khas untuk koperasi kaum ibu serta kursus khas untuk kumpulan pertama 18 orang guru bagi membantu penubuhan koperasi di sekolah-sekolah.

Pada tahun 1968 Rang Undang-Undang Maktab Kerjasama (Perbadanan) 1968 digubal dan diluluskan oleh Parlimen pada 11 September tahun yang sama bertujuan membangun dan menggalakkan latihan dan pendidikan koperasi.

Dalam membantu Kerajaan menjayakan matlamat Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussain, pada tahun 1970 MKM telah melaksanakan pembaharuan dengan memperketat syarat kemasukan peserta. Antaranya permohonan perlu dibuat sendiri oleh koperasi, peserta disyaratkan boleh membaca dan menulis selain diwajibkan menduduki peperiksaan di penghujung kursus.

MKM juga melebarkan sayapnya ke Sabah dan Sarawak dengan pembukaan cawangan di Kota Kinabalu pada tahun 1997 dan diikuti dengan Cawangan Sarawak di bandar Kuching pada tahun 1998.

Cawangan MKM turut dibuka di Bera dan di Johor Bahru pada tahun 2009 serta Alor Setar pada 2010.

Selain itu maktab turut mengorak langkah menerbitkan majalah berkala seperti Dimensi KOOP dan Info MKM. Keluaran pertama Malaysian Journal of Co-operative Management diterbitkan pada tahun 2005 manakala buku Gerakan Koperasi di Malaysia pula pada tahun 2008.

Dari segi perjawatan, bermula pada tahun 2009, MKM mempunyai 204 orang tenaga kerja iaitu 170 orang di Semenanjung, 17 orang di Sabah dan 17 orang di Sarawak.

Penambahan kakitangan dari semasa ke semasa dapat meningkatkan kualiti kerja dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada para koperator dan peserta-peserta kursus di MKM. Pada tahun 2010, MKM telah melaksanakan 463 kursus membabitkan 22,242 peserta.

Bermula pada April 2009, MKM diletakkan di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang telah menyasarkan gerakan koperasi dapat menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Bagi membolehkan MKM memainkan peranan yang lebih dinamik, Parlimen telah meluluskan Akta Perbadanan Maktab Kerjasama Malaysia (Pindaan) 2011 dan diwartakan perlaksanaannya mulai 1 September 2011. Akta ini merupakan proses transformasi dan penjenamaan semula Maktab Kerjasama Malaysia kepada Maktab Koperasi Malaysia selain untuk memperkasa dan memperluaskan peranan MKM kepada gerakan koperasi.

Pindaan Akta ini juga mengubah gelaran nama jawatan Pengarah MKM kepada Ketua Pengarah MKM dengan Idris Ismail sebagai Ketua Pengarah pertama bertanggungjawab mentransformasikan MKM sebagai pusat latihan koperasi bertaraf dunia

Sepanjang 55 tahun penubuhannya, MKM komited membangunkan modal insan gerakan koperasi. Ribuan telah dilatih bagi membangun dan memacu koperasi dalam menyumbang peningkatan ekonomi.

Matlamatnya supaya koperasi dapat membantu rakyat ke arah berpendapatan tinggi melalui peningkatan aktiviti perniagaan koperasi serta menjadikan sektor koperasi sebagai salah satu penjana ekonomi negara.

Ia selari dengan pertambahan jumlah koperasi di negara ini yang hanya beberapa buah sahaja di awal negara mencapai kemerdekaan kepada lebih 8,000 ketika ini.

Dalam menjangkau usia setengah abad, MKM berbangga dengan graduan kelahirannya terus mendapat tempat di semua sektor pekerjaan khususnya di bidang koperasi dan peserta kursus jangka pendek yang telah dilatih oleh MKM terus memberi sumbangan positif kepada gerakan koperasi di negara ini.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
1 Comments
  • Tanpa Nama
    Tanpa Nama Ahad, 14 April 2013 pada 10:49:00 PTG SGT

    Sertai kami di 1kubsb untuk diskaun dan rebat tunai koperasi tuan/puan.

Add Comment
comment url