Model kedua e-skuter akhir tahun
GEORGE TOWN - Eclimo Sdn. Bhd. (Eclimo), pengilang e-skuter dan e-motosikal eksklusif pertama di Malaysia, menjangkakan dapat memasarkan model kedua e-skuter ES11 keluarannya pada penghujung tahun ini.
Pengarah Urusannya, Liew Chun Peng berkata, model kedua keluaran Eclimo itu masih lagi di peringkat ujian akhir di Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) sebelum menjalani ujian di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
"Eclimo menawarkan cara pembayaran mudah bagi yang berminat untuk memiliki e-skuter berkuasa bateri ini iaitu dengan memohon kad kredit dengan Hong Leong Bank dan pembayaran dibuat menerusi kad tersebut dengan kadar RM199 sebulan untuk tempoh 60 bulan atau lima tahun," katanya selepas majlis menandatangani memorandum sebagai penaja utama Persidangan Eco Terengganu 2011 di sini kelmarin.
Chun Peng mewakili Eclimo manakala Eco Terengganu diwakili oleh Pengerusinya, Tan Sri Sabbaruddin Chik.
Persidangan Eco Terengganu yang pertama kali diadakan itu merupakan anjuran EcoKnight dan T-Best Events bersempena pertandingan Piala Monsun 2011 dan akan berlangsung di Ri-Yaz Heritage Marina Resort & Spa, Kuala Terengganu pada 23 dan 24 November ini.
Tambah Chun Peng, e-skuter keluaran Eclimo direka untuk mengurangkan pemanasan global yang menjadi isu utama dunia ketika ini kerana motosikal itu hanya menggunakan kuasa bateri lithium yang mesra alam dan boleh dikitar semula.
"E-skuter sangat mesra alam kerana tiada karbon yang akan dibebaskan, bateri lithium juga tidak mencemar alam sekitar. Setiap bateri yang penuh boleh digunakan untuk perjalanan sejauh 100 kilometer.
"Pengguna juga tidak perlu tunggu sehingga bateri benar-benar kosong untuk dicas semula kerana ia boleh dicas di mana-mana sahaja dengan menggunakan plug tiga pin yang biasa. Penyelenggaraan e-skuter juga sangat mudah dan murah, di mana setiap bateri mempunyai jangka hayat lima tahun," katanya.
Tambah beliau, selepas tempoh lima tahun, pengguna boleh menukarkannya dengan yang baharu di Eclimo.
Selain itu, Eclimo juga mempunyai satu lagi model baharu iaitu EB25 yang masih di peringkat Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan dijangka dipasarkan pada Jun 2012.
- KOSMO!