Pelihara diri, keluarga daripada fitnah

LIDAH antara nikmat utama anugerah Allah SWT kepada manusia. Dengan lidah, manusia mampu berkata-kata dan merasai nikmat makan dan minum.

Lidah mempunyai kebaikan dan manfaat yang banyak, khususnya bagi yang menjaga dan menggunakannya ke arah tujuan betul seperti berzikir kepada Allah SWT, membaca al-Quran, berdakwah menyeru manusia mentaati perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya serta memberi nasihat atau teguran berguna kepada sesama manusia.

Sesungguhnya lidah adalah nikmat yang sangat berharga, berbeza dengan lidah dikurniakan pada haiwan. Kerana itu kita hendaklah menjaga sebaik-baiknya, jangan sampai disalahgunakan seperti membuat fitnah.

Namun dalam zaman kemajuan sains dan teknologi, manusia bukan saja menyebar fitnah menggunakan lisan, tetapi juga melalui kecanggihan teknologi maklumat, sama ada melalui penulisan dalam media cetak mahupun media elektronik.

Tujuan kemudahan itu dicipta untuk memudahkan kita melihat, mendengar dan menyebarkan apa juga berita dan maklumat mengenai keadaan yang berlaku di sekeliling kita dan kita hendaklah menggunakannya dengan baik dan bijaksana.

Namun yang membimbangkan kini segelintir masyarakat tidak bertanggungjawab menyalahgunakannya menyebarkan berita tidak benar, khabar angin, apatah lagi mengandungi unsur fitnah.

Kita perlu mengetahui fitnah adalah perkara buruk dan boleh menjejaskan maruah seseorang.

Fitnah ialah tuduhan atau cerita yang diadakan atau dibuat-buat untuk memburukkan seseorang dan memfitnah pula ialah membuat fitnah dan mengada-adakan sesuatu untuk memburuk-burukkan sesuatu pihak yang dilakukan, sama ada dengan perkataan, tulisan atau menerusi isyarat atau gerakan.

Orang yang membuat fitnah dikatakan sebagai golongan yang membawa mulut atau mengadu domba.

Adapun perbuatan fitnah itu hukumnya haram dan termasuk dalam dosa besar. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Qalam ayat 10-11, bermaksud: “Dan janganlah kamu menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina, suka mencaci, suka menyebarkan fitnah hasutan.” Diriwayatkan daripada Huzaifah RA, beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Tidak masuk syurga orang yang suka memfitnah (mengadu domba).” Malah, peringatan Allah mengenai bahaya fitnah dijelaskan dalam surah Al-Baqarah Ayat 191 sebagaimana firman-Nya: “Dan ingatlah bahawa angkara fitnah itu lebih besar bahayanya daripada pembunuhan.” Ini jelas membuktikan fitnah sangat dilarang dan perlu dijauhi. Oleh itu, kita hendaklah memelihara diri dan keluarga kita daripada perbuatan menabur fitnah.

Jika mendengar berita yang memburukkan orang lain, kita hendaklah memelihara diri daripada mendengarnya atau menghebahkannya kepada orang lain.

Memang tidak dinafikan, dalam kehidupan berkeluarga, berjiran dan bermasyarakat, kita tidak dapat mengelak mendengar berita atau cerita yang diperbualkan ketika bertemu, ketika majlis keramaian seperti perkahwinan atau kenduri.

Jika mendengar perbualan yang boleh mendatangkan dosa seperti cerita yang direka dan memfitnah, kita hendaklah berusaha mengelakkan diri seperti tidak membenarkan atau mempercayai apa disampaikan kerana orang yang membawa fitnah termasuk golongan orang fasik dan berita dibawa mereka tidak boleh dipercayai.

Kita sepatutnya melarang orang yang membawa fitnah meneruskan perbuatannya dan menasihatinya serta menerangkan bahawa perbuatannya salah di sisi agama. Jangan pula cerita disampaikan orang memfitnah itu membuatkan kita terdorong untuk menyelidiki dan mencari-cari sama ada benar atau sebaliknya.

Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Hujuraat ayat 21, bermaksud: “Wahai orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.” Ketahuilah, tidak ada orang suka dirinya diperkatakan atau menjadi bahan cerita, apatah lagi jika ia tidak berasas, tidak benar dan hanya fitnah semata-mata.

- HARIAN METRO
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url