Pesona Stadium ‘Sarang Burung’
Oleh MUHAMMAD FAIZ JOHARI
JIKA orang lain mahu melihat Tembok Besar atau Kota Larangan ketika berkunjung ke Beijing, keutamaan penulis pula ialah Stadium Olimpik 2008. Bukan tidak teruja dengan dua tempat yang menjadi tumpuan dunia itu tetapi kerana meminati sukan, penulis tetap mengutamakan stadium berkenaan.
Kesempatan melancong ke ibu kota itu bersama keluarga, baru-baru ini penulis memberitahu pemandu pelancong supaya memastikan dapat berada di stadium berkenaan lebih lama kerana sebelum ini dimaklumkan oleh rakan-rakan yang pernah berkunjung ke sana hanya diberi peluang mengambil gambar dari luar saja.
Selepas berbincang, pemandu pelancong bersetuju membawa penulis dan ahli keluarga memasuki stadium berkenaan walaupun bayaran masuk 50 yuan (RM25) seorang terpaksa ditanggung sendiri. Puas hati dapat memasuki stadium yang boleh memuatkan 110,000 penonton itu.
Walaupun penulis pernah mengunjungi Stadium Bukit Jalil yang boleh menampung 100,000 penonton tetapi berada di stadium ini dirasakan lebih bermakna kerana ia tempat bersejarah kerana menjadi gelanggang rasmi Sukan Olimpik ke-29.
Lagi pun reka bentuknya seperti sarang burung sungguh mempesonakan, terutama apabila melihat dari jauh.
“Wau.” Itulah perkataan pertama keluar daripada mulut penulis sebaik melihat stadium berkenaan. Tidak hairan mengapa stadium yang mengambil masa empat tahun untuk dibina dengan kos AS$423 juta (RM1.3 bilion) membabitkan 44,000 tan besi keluli ini dipanggil Bird's Nest yang menyaksikan atlit bertaraf dunia, termasuk Usain Bolt, mengerah keringat untuk memburu pingat emas pada 8 hingga 24 Ogos 2008.
Menurut pemandu pelancong yang dikenali sebagai Nadia, sarang burung menjadi kegemaran masyarakat Cina dan ia sangat mahal dan hanya dimakan pada hari perayaan oleh mereka yang berkemampuan.
“Oleh kerana sarang burung sinonim dengan masyarakat Cina, timbul ilham untuk membina reka bentuk stadium berkenaan. Kami bangga dengan stadium ini,” katanya.
Penulis menghabiskan masa sejam untuk merakam gambar sambil melihat kemudahan disediakan sambil membeli cenderahati. Di stadium itu juga disediakan skrin besar bagi membolehkan pelancong menyaksikan upacara pembukaan Sukan Olimpik 2008 diadakan seolah-olah menyaksikan sukan berkenaan secara langsung.
Nadia memberitahu, selain Tembok Besar China dan Kota Larangan, stadium itu kini menjadi tumpuan pelancong selepas Sukan Olimpik.
“Walaupun ada yang tidak mahu masuk ke dalam stadium, mereka memilih untuk bersiar-siar di perkarangan yang luas kawasannya untuk mengambil gambar.
“Selain stadium, turut menjadi tumpuan ialah Ice Cube di mana sukan renang diadakan terletak bersebelahan stadium ini,” katanya.
Ice Cube juga menarik, terutama apabila melihat dari luar dan menjadi tumpuan pelancong merakamkan gambar sebagai kenangan. Penulis juga tidak melepaskan peluang berbuat demikian.
Di perkarangan stadium juga dipenuhi peniaga yang menawarkan pelbagai cenderahati, terutama berbentuk stadium berkenaan berharga sehingga 50 yuan (RM25). Jika pandai tawar, cenderahati itu boleh diperoleh pada harga 10 yuan saja (RM5).
Selepas hajat melihat stadium tercapai, satu lagi impian penulis ialah melihat panda kerana selama ini hanya melihat gambar. Impian itu dipenuhi apabila mengunjungi zoo di Beijing.
Sungguh seronok melihat gelagat panda buat kali pertama dalam sejarah. Hanya ada lapan ekor haiwan berkenaan di zoo itu. Cenderahati membabitkan haiwan terbabit boleh diperoleh dengan harga berpatutan.
Penulis membeli topi panda berharga 30 yuan (RM15) dan memakainya ketika bersiar-siar di Beijing tetapi yang menghairankan ada juga masyarakat Cina bertanya di mana penulis membeli topi berkenaan, sedangkan ia mudah didapati
di bandar raya itu.
Selain itu, penulis sempat berkunjung ke Wangfujing, kawasan seperti Bukit Bintang di Kuala Lumpur. Yang menarik perhatian penulis bukan bangunan modennya, tetapi makanan eksotik seperti kala jengking, tapak sulaiman, cacing dan ulat yang dijual di kawasan berkenaan.
Ia menjadi tumpuan pelancong kerana sukar dilihat di mana-mana tempat kecuali Beijing atau Taiwan. Walaupun loya tekak melihat pelancong menikmati makanan itu, tetapi kerana mahu melihat suasana di situ sambil merakam gambar terpaksalah berbuat demikian.
Yang pasti, Tembok Besar dan Kota Larangan mempunyai keistimewaan tersendiri yang tidak perlu penulis kongsikan pengalamannya kerana ia kerap dipaparkan di media massa.
Apa pun, melancong ke Beijing memang menyeronokkan kerana ia menjanjikan pengalaman mengasyikkan.
- HARIAN METRO