Pencari jodoh untuk bujang sibuk
Kebimbangan seperti itu tidak perlu dipanjangkan kerana terdapat pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk menemui teman istimewa yang boleh disunting sebagai cinta sejati.
Kesibukan kerjaya di kota besar seperti Kuala Lumpur yang pantas membangun secara tidak langsung mempengaruhi ketinggian cita rasa diri golongan profesional. Berikutan itu, cabaran bagi golongan yang 'gila' bekerja untuk mencari teman sesuai semakin meningkat.
Kebanyakan golongan profesional muda hari ini terlalu 'leka' dengan kerjaya masing-masing hingga menyebabkan mereka terlupa untuk meluangkan masa mencari teman hidup.
Walaupun janji temu dengan rakan atau teman yang baru dikenali menjadi sebahagian gaya hidup hari ini namun, ia sering kali tidak berkesudahan dengan baik dan tidak membawa makna dalam mencari pasangan hidup.
Menyedari senario itu, syarikat janji temu pertama di Asia Tenggara, Lunch Actually, mengambil kesempatan menyediakan perkhidmatan janji temu makan tengah hari bagi golongan profesional yang 'gila' bekerja tetapi masih berhasrat mencari cinta.
Kisah seorang pegawai bank, Ian Wong, 30, yang dipertemukan dengan Dr. Vanessa Chin, 30, melalui alam maya sehingga membawa mereka ke alam perkahwinan adalah sesuatu yang pasti dikenang sepanjang hayat mereka.
"Kami tidak pernah bayangkan bahawa kami akan bertemu antara satu sama lain melalui agensi janji temu alam maya yang diaturkan Lunch Actually.
"Tetapi pertemuan kami menjadi realiti dengan bantuannya. Terima kasih atas perkhidmatan profesional dan susun atur janji temu yang sempurna untuk kami sehingga hubungan kami sampai ke peringkat ini," kata Ian.
Tambah pasangan itu, model perniagaan dan janji temu makan tengah hari tersebut adalah luar biasa. Vanessa memberitahu, pekerja syarikat laman web janji temu itu sangat komited dalam menjalankan tugas mereka.
"Kakitangan Lunch Actually bagus dan bersemangat. Mereka benar-benar cuba melakukan yang terbaik untuk menjayakan janji temu yang berpotensi.
"Kami bermula dengan baik pada janji temu makan tengah hari yang pertama. Ia merupakan janji temu yang sangat bernilai dalam hidup dan tidak dapat dilupakan," kata Vanessa dan Ian.
Keserasian diatur
Seorang peguam, Christy Chong, 31, berkata, dia pada mulanya tidak pernah percaya dengan soal pencarian jodoh. Dia selama ini percaya bahawa jodoh akan hadir sendiri dalam hidup seseorang.
Namun selepas 'mengaku kalah' pada keadaan semasa dan kesibukan kerja, Christy telah menyertai Lunch Actually dan amat berterima kasih dengan pengasas agensi mencari jodoh terbaik Asia Tenggara itu.
"Dalam kesibukan bidang pekerjaan saya ini, saya berpeluang bertemu dan berinteraksi dengan ramai orang. Pada masa yang sama, ramai orang cuba melamar saya. Namun, tiada seorangpun daripada mereka memenuhi kriteria yang saya inginkan hinggalah saya berjumpa dengan seseorang yang telah diaturkan.
"Kami mempunyai banyak persamaan dan mula menyukai antara satu sama lain. Semuanya kerana Lunch Actually," katanya yang kini sudah mendirikan rumah tangga bersama pasangannya, Ben CK Leong, 32.
Ketua Pegawai Eksekutif, Lunch Actually, Violet Lim, berkata, perkhidmatan janji temu makan tengah hari untuk mencari teman hidup yang bermula di Singapura pada April 2004 itu sudah terbukti berjaya di republik tersebut.
Menurutnya, Lunch Actually yang beroperasi secara maya menjadi platform yang sesuai bagi golongan bujang berkerjaya yang terlalu sibuk untuk bertemu pasangan ideal melalui cara yang selamat, mudah dan selesa.
Laman maya yang secara rasmi diperkenalkan di Malaysia pada September 2005 dan diasaskan bersama suaminya, Jamie Lee, itu disahkan oleh Matchmaking Institute di New York.
Katanya, syarikat itu kini bersedia untuk melaksanakan kaedah janji temu yang dipraktikkan secara meluas di Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia di negara ini.
"Melalui pemerhatian, saya dapati rata-rata golongan muda profesional mempunyai rutin jadual yang sibuk.
"Selain itu, mereka yang berkahwin pada usia sepatutnya sudahpun berkenalan dengan teman hidup mereka ketika di sekolah atau di universiti. Namun, jika bernasib baik, perhubungan berkenaan dapat berkekalan," jelas Violet.
Bagaimanapun, dakwa pengasas laman web itu, apabila golongan bujang sudah bekerja, mereka akan mula sibuk sehingga terlupa soal teman hidup. Tanpa disedari, usia mereka terus meningkat tua.
Violet yang juga penulis buku Lessons from 15,000 First Dates itu berpendapat bahawa pendekatan mengadakan pertemuan santai pada waktu makan tengah hari merupakan idea yang menarik untuk mencari pasangan.
Berbanding mengadakan temu janji makan malam, mungkin ada yang menganggap ia terlalu romantik atau terlalu terikat dengan hasrat asas mencari jodoh.
Cara baharu
Violet menambah, zaman yang berubah menyaksikan ramai individu berkerjaya kini lebih cenderung mengambil pendekatan lebih realistik dalam bercinta berbanding cara lama.
"Cara lama iaitu ibu bapa yang memain peranan menjodohkan anak mereka kini semakin kurang diamalkan. Justeru, Lunch Actually memperkenalkan satu usaha alternatif," ujarnya.
Sementara itu dalam perkembangan lain Violet berkata, dari tinjauan tabiat janji temu yang dilakukan ke atas kira-kira 2,000 orang responden, kaum lelaki di Malaysia kini berfikiran lebih terbuka berkenaan teman wanita mereka.
Sementara itu, sebaliknya, wanita di negara ini masih inginkan teman lelaki yang lebih tinggi, berpelajaran dan mempunyai pendapatan yang lebih tinggi berbanding diri mereka.
"Hasil tinjauan yang dilakukan syarikat saya mendapati 70 peratus wanita Malaysia tidak akan menjalin hubungan dengan lelaki yang lebih rendah daripada mereka," dedah Violet.
Sementara itu, 55 peratus lelaki di Malaysia pula berkata mereka hanya akan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi.
Penemuan itu didedahkan oleh satu tinjauan yang telah dilaksanakan oleh agensi janji temu, Lunch Actually, membabitkan 1,895 responden dari Hong Kong, Singapura dan Malaysia.
Tinjauan yang dijalankan atas talian dari 25 Ogos sehingga 14 September 2011, melibatkan 654 orang rakyat Malaysia, dengan 76.1 peratus daripadanya berusia di antara 26 hingga 40 tahun. Sejumlah 75.1 peratus daripada mereka merupakan lepasan ijazah sarjana muda atau lebih.
Menurut statistik itu, lelaki pada hari ini bersifat lebih terbuka dan akan mempertimbangkan menjalin hubungan dengan wanita yang lebih tinggi, berpelajaran dan memperoleh pendapatan yang lebih banyak daripada mereka.
Ciri pilihan wanita
"Bagaimanapun, keadaan yang berbeza dapat dilihat dalam kalangan wanita Malaysia. Mereka menolak lelaki yang lebih rendah, kurang berpelajaran dan berpendapatan lebih rendah daripada diri mereka," kata Pengasas Bersama Lunch Actually, Jamie Lee.
Tinjauan itu juga mendapati wanita di negara ini semakin fokus terhadap wang dan kuasa pendapatan teman lelaki mereka yang berpotensi.
Menurutnya, 60 peratus daripada mereka berkata bahawa mereka tidak akan menjalin hubungan dengan seorang lelaki yang berpendapatan kurang daripada mereka.
Angka tersebut merupakan yang tertinggi berbanding wanita Singapura sebanyak 47 peratus dan Hong Kong sebanyak 27 peratus.
Jelasnya, sungguhpun perkahwinan dilihat sebagai satu perkara penting dalam kalangan sebahagian besar lelaki, namun sebanyak 72 peratus lelaki ramai mengakui bahawa mereka takut dengan komitmen kerana bimbang dikongkong dan mengalami masalah kewangan.
Terang Violet, tinjauan itu turut mendapati, satu perkara yang akan menarik perhatian lelaki serta-merta terhadap wanita tidak berubah iaitu muka yang cantik, sementara bagi wanita, ialah keyakinan dan perwatakan lelaki terbabit.
"Di Malaysia, Singapura dan Hong Kong, golongan lelaki dan wanita bujang berpendapat bahawa usaha menjadikan penampilan diri mereka lebih menarik berkait rapat dengan mencari cinta.
"Berbanding tahun-tahun sebelum ini, terdapat peningkatan ketara dalam bilangan individu yang menggunakan kaedah janji temu dalam talian Internet bagi mencari cinta. Ini boleh disebabkan oleh peningkatan keyakinan terhadap janji temu dalam talian dan sifat celik Internet," katanya.
Untuk mendapatkan maklumat lanjut, sila layari laman web www.lunchactually.com
- KOSMO!