Rakyat Mesir Di Malaysia Boleh Mengundi Menerusi Laman Web
Kedutaan Mesir di sini menyatakan bahawa pendaftaran boleh dibuat melalui www.elections2011.eg mulai 10 hingga 19 Nov.
Rakyat Mesir di Malaysia boleh juga mendaftar di kedutaan jika mereka tidak dapat berbuat demikian melalui laman web, menurut kenyataan kedutaan itu di sini.
Mereka dikehendaki membawa bersama pengenalan nasional asal Mesir yang dikeluarkan sebelum 27 Sept lepas atau jika mereka tidak dapat berbuat demikian, mereka perlu mengemukakan pasport asal Mesir bersama dengan satu salinan pengenalan nasional Mesir.
Pilihan raya Parlimen Mesir akan diadakan pada 28 Nov secara berperingkat-peringkat.
Laporan menyatakan bahawa ini merupakan pilihan raya bebas Parlimen yang pertama kali diadakan dalam dekad ini selepas presiden Mesir Hosni Mubarak digulingkan berikutan dengan kebangkitan rakyat negara itu pada 11 Feb.
Bekas presiden itu berkuasa di Mesir selama 30 tahun sebelum beliau dipaksa meletakkan jawatan dan menyerahkan kuasa kepada majlis tentera berikutan dengan kebangkitan rakyat negara itu selama 18 hari.
- BERNAMA