Kementerian Pengajian Tinggi sasar 50 peratus penduduk sertai Pengajian Sepanjang Hayat (PSH)

Pelan Induk Pembelajaran Sepanjang Hayat Nasional menyasarkan 50 peratus daripada penduduk berusia 15 tahun ke atas di negara ini menyertai program pembelajaran sepanjang hayat (PSH) menjelang 2020, berbanding hanya 10 peratus ketika ini.
Peratusan itu dengan mengambil kira 26.2 juta penduduk yang berada dalam lingkungan usia bekerja 15 hingga 64 tahun dengan populasi Malaysia dijangka mencecah 34.3 juta penduduk pada ketika itu.
Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelancaran pelan induk itu bertujuan meletakkan agenda PSH sebagai tonggak ketiga membangunkan modal insan negara selepas pendidikan asas dan tertiari.

Timbalan Perdana Menteri berkata, usaha mencapai matlamat itu akan dilakukan menerusi empat strategi, iaitu memperkasa mekanisme dan infrastruktur PSH, mempertingkat kesedaran awam dan penyertaan rakyat dalam PSH, memastikan kesinambungan dan penghayatan PSH di kalangan rakyat serta menyediakan dana dan insentif bagi menyokong program itu.

“Satu aspek penting untuk memastikan kejayaan PSH ialah akreditasi dan pengiktirafan program itu yang ditawarkan institusi berkaitan. Saya difahamkan institusi pengajian tinggi (IPT) seperti Universiti Terbuka Malaysia (OUM) mempunyai kerangka penilaian bagi pengalaman bekerja terdahulu untuk diambil kira dalam pertimbangan bagi mengikuti kursus ditawarkan universiti.

“Inisiatif ini dapat menggalakkan orang dewasa yang sudah bekerja dan berpengalaman untuk terus belajar bagi meningkatkan ilmu serta kemahiran dalam bidang masing-masing.
“Inisiatif ini sudah dilaksana di negara seperti Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom dan Kanada. Peranan Kolej Komuniti juga perlu ditingkatkan bersesuaian dengan imejnya sebagai hab PSH bagi Malaysia,” katanya berucap melancarkan Pelan Induk Pembudayaan PSH Peringkat Nasional 2011-2020, Laman Sesawang PSH dan Persidangan Antarabangsa PSH (ICLLL) 2011 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah mewakili Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Ab Rahim Md Noor dan Presiden/Naib Canselor OUM, Prof Emeritus Tan Sri Anuwar Ali.

Bagi memastikan negara terus berdaya saing, Muhyiddin berkata, Malaysia memerlukan tenaga kerja berinovatif dan kreatif yang dapat menyokong transformasi ke arah status negara maju.

Dalam konteks ini, beliau berkata, sistem pendidikan negara akan terus mengalami perubahan serta penambahbaikan untuk membangunkan modal insan yang dapat memenuhi keperluan negara dan industri.

- BERITA HARIAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url