Selamat Hari Raya Aidil Adha 1432H - Panduan Solat Sunat Aidil Adha
Selamat Hari Raya Aidil Adha 1432H diucapkan kepada semua. Berikut adalah cara untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya Aidil Adha.
Solat Sunat Hari Raya merupakan solat sunat yang didirikan secara bersendirian atau secara berjemaah (biasanya di masjid) pada awal pagi. Hukumnya adalah sunat muakkad yang mana sangat-sangat dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w.
Solat sunat Aidiladha digalakkan diawalkan waktunya bagi memberi lebih banyak masa untuk penyembelihan korban. Kebiasaanya pada pukul 8.00 pagi (waktu Malaysia).
Panduan ringkas:
1. Takbiratul ihram /Niat solat:
Lafaz niat: “Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat kerana Allah Taala” (untuk solat seorang diri).
“Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat makmum kerana Allah Taala” (jika ikut imam).
“Sahaja aku solat sunat Aidil Adha dua rakaat jadi imam kerana Allah Taala” (jika jadi imam).
2. Membaca doa iftitah.
3. Kemudian takbir 7 kali yang diselangselikan dengan tasbih sebanyak 6 kali.
4. Membaca fatihah dan surah al. Akla.
5. Rukuk dan sujud seperti biasa.
6. Iktidal dan berdiri betul (rakaat kedua) takbir 5 kali yang diselangselikan dengan tasbih 4 kali.
7. Membaca fatihah dan surah al.Ghasyiyah.
8. Rukuk, sujud dan membaca tahiyat akhir seperti biasa.
9. Memberi salam.
10. Disunatkan takbir dan doa
11. Membaca dua Khutbah. (sekiranya bersolat secara berjamaah)
Peringatan:
a. Kalau imam telah berhenti takbir/bertasbih makmum hendaklah berhenti, begitu juga kalau imam terlebih takbir, makmum tidak perlu ikut sebaliknya menunggu.
b. Takbir Hari Raya Aidil Adha disunatkan mulai malam hari raya (10hb. Zulhijjah ) sehinggalah selepas solat Asar (13hb. Zulhijjah).
c. Bacaan surah al.Akla dan al.Ghasyiyah boleh diganti dengan surah lain, sekiranya tidak menghafaz ayat tersebut. (tidak boleh buat semua, jangan tinggal semua)
d. Orang yang terpaksa bertugas pada hari raya , disyorkan melaksanakan ibadat ini secara bersendirian, jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja kerana ibadat ini hanya dapat dilakukan setahun dua kali sahaja. (Aidil Fitri dan Aidil Adha)
e. Sebaiknya terus ke masjid tanpa makan terlebih dahulu (berbeza dengan solat sunat Aidilfitri disunatkan makan sebelum ke masjid).
SELAMAT HARI RAYA AIDIL ADHA :)