Donald Trump kuat merajuk
WASHINGTON: Ahli perniagaan terkemuka dan personaliti realiti televisyen, Donald Trump, keluar daripada Parti Republikan, menukar pendaftaran undiannya kepada calon bebas di New York, dalam langkah yang dilihat memudahkan persaingan tiga penjuru pemilihan Presiden Amerika Syarikat tahun depan.
Tindakan Trump itu diumumkan 10 hari selepas hartawan hartanah itu mengumumkan membatalkan rancangan untuk menjadi pengacara perbahasan antara calon Presiden Parti Republikan dalam usaha melindungi kemungkinan bertanding sebagai calon bebas.
Hanya dua calon bersetuju mengambil bahagian dalam forum yang dirancang Trump pada Selasa depan di Iowa.
“Trump sudah berkata sejak hampir setahun lalu jika dia tidak berminat dengan siapa yang menjadi calon Republikan, dia mungkin bertanding sebagai calon bebas.
“Tindakannya keluar parti bertujuan melindungi haknya untuk memutuskan hala tuju seterusnya selepas rancangan akhir program The Apprentice, Mei depan,” kata jurucakapnya, Michael Cohen, lapor akhbar Los Angeles Times.
The Apprentice ialah rancangan pertandingan realiti televisyen yang dihoskan Trump. Pemilihan presiden Amerika Syarikat akan diadakan pada November 2012.
Trump dianggap ada niat bertanding merebut pencalonan Parti Republikan sebagai presiden. Dia juga dicemuh kerana menuduh Presiden Barack Obama, dari Parti Demokrat, mungkin tidak dilahirkan di Amerika.
Pada masa sama, Trump tidak pernah mengadakan kempen sebenar dan pengkritik menyifatkan usahanya dalam perkara itu hanya usaha mempromosi diri sendiri.
Calon yang enggan menyertai debat yang dikendalikan Trump termasuk bekas Gabenor Massachusetts, Mitt Romney; bekas Gabenor Utah, Jon Huntsman; Gabenor Texas, Rick Perry serta ahli Kongres, Ron Paul dan Michele Bachmann.
Hanya bekas Speaker Kongres, Newt Gingrich dan bekas Senator, Rick Santorum bersetuju mengambil bahagian.
Apapun, Trump dianggap bukan penyokong setia Republikan kerana hanya menyertai parti itu pada 2009. Beliau lebih lama menjadi anggota Demokrat apabila mendaftar sebagai ahli pada 2001 sebelum mengubah angin.
Cohen juga berkata: “Suatu perkara yang pasti ialah Trump memang berazam supaya Obama tewas dalam persaingan 2012.”
– Reuters