Ekonomi global diramal hanya kemelesetan teknikal


KUALA LUMPUR 24 Jan. - Ekonomi global diramal hanya akan mengalami kemelesetan teknikal dan tidak akan merebak ke seluruh dunia, kata Citibank Bhd. (Citibank).

Ketua Pakar Strategi, Penyelidikan Pelaburan dan Produk Pengurusan Kekayaannya, Steven Yong berkata: ''Walaupun terdapat krisis hutang di Eropah dan Amerika Syarikat (AS) tetapi ia tidak akan merebak ke seluruh dunia.

''Beberapa negara bakal mengalami kesan teruk krisis seperti Greece dan Sepanyol tetapi pertumbuhan ekonomi akan berlaku tahun ini terutamanya di Jerman dan Perancis di Eropah.

''Tahun ini, adalah masa untuk menilai kembali pulangan jangka panjang sama ada portfolio seimbang atau dipelbagaikan,'' kata Yong.

Beliau berpendapat, pada hakikatnya kemelesetan ekonomi global tidak akan berlaku tetapi tahun 2012 adalah tahun yang lembap pertumbuhannya.

Yong dalam tinjuan tentang pelaburan runcitnya di sini berkata, penganalisis Citibank kekal positif tentang peluang pelaburan dalam pasaran ekuiti di Hong Kong dan Jepun serta pasaran komoditi di Brazil dan Russia.

''Selain itu, para pelabur juga dinasihatkan supaya mencari peluang dalam pelaburan berpendapatan tetap yang menawar hasil pulangan tinggi.

''Para pelabur perlu ingat walau apa pun keadaan ekonomi global dan domestik, persekitaran pasaran dan politik para pelabur hendaklah bersikap konservatif dan cekap dalam pembahagian aset mereka dengan pelaburan yang seimbang," kata beliau.

Yong berkata, tinjauan terhadap komoditi emas kekal positif bersandarkan kepada permintaan pelaburan dengan purata harganya akan kekal pada AS$1,950 (RM5,850).

Beliau berkarta, minyak mentah dunia pula dijangka akan berada pada purata AS$110 (RM330) setong pada tahun 2012.

- UTUSAN
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url