Isu pemain import, Terengganu mahu saman FAM dan ancam tarik diri
SUKAN pun nampaknya sudah macam gelanggang politik. Semangat kesukanan sudah tidak begitu diamalkan. Kadang-kadang, budi bicara boleh diguna pakai untuk menyelesaikan sebarang kekeliruan dan bukan terus-terusan ‘berbalas serangan’.
Jika Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tersilap kenyataan dalam surat pekeliling kepada Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengenai status pemain import, ia perlu diselesaikan dengan cara yang berhemah.
Tidak perlu rasanya untuk mempertahankan siapa yang betul dan siapa pula yang silap.
Mungkin atas semangat kesukanan, tidak salah kiranya FAM dan PBSNT menggunakan budi bicara untuk membenarkan Terengganu meneruskan saingan Liga Super dengan pemain import yang telah mereka daftarkan.
Bagi pihak Terengganu pula, mereka seharusnya rasa bangga kerana bersaing dalam liga menggunakan sepenuhnya tenaga tempatan dan ia harus dicontohi.
Jika kos untuk mendapat pemain import menjadi isu, ia mungkin boleh dibincangkan secara baik dengan FAM.
Baru di awal saingan, kontroversi sudah menyelubungi kancah bola sepak negara.
Ancaman saman mula disuarakan Terengganu kerana mereka rasa terpedaya dengan surat pekeliling yang dihantar oleh FAM pada 23 Disember lalu.
Ekoran kenyataan yang dikeluarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said kelmarin yang mengancam untuk menarik diri daripada saingan liga, FAM pantas memberi respons.
“FAM mengambil berat mengenai kenyataan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said,” kata Naib Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin.
Hamidin menjelaskan pihaknya juga harus berjaga-jaga dengan kenyataan tersebut yang dilihat agak ‘pedas’.
Begitupun, beliau enggan mengulas lebih lanjut kerana menurutnya, FAM telah menjelaskan kekeliruan mengenai surat pekeliling itu sebelum ini.
“Kami sudah pun menjelaskan apa yang terkandung di dalam surat pekeliling bertarikh 23 Disember itu. Buat masa ini, itu sahaja yang saya boleh katakan,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Kelmarin, Ahmad menyuarakan nada kesal dan tidak berpuas hati dengan badan induk bola sepak negara itu selepas kekeliruan yang timbul pada surat pekeliling bertarikh 23 Disember itu.
Dalam surat berkenaan, FAM menyatakan syarat-syarat pemain asing untuk pasukan Kelantan dan Terengganu yang akan bermain dalam Liga Malaysia 2012 dengan skuad Penyu diberi tempoh pendaftaran sehingga 9 Januari.
Begitu pun, PBSNT menanggung ‘derita’ selepas FAM menjelaskan pemain import skuad Penyu itu tidak dibenarkan beraksi di Liga Super sebaliknya hanya layak untuk bermain pada Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sahaja.
Lantaran dengan kekeliruan tersebut, Ahmad dengan nada keras, mengemukakan tiga pilihan kepada FAM dengan dua daripada itu adalah meminta bayaran ganti rugi atau membenarkan dua pemain import itu beraksi bersama Terengganu dalam Liga Super.
Namun, pilihan ketiga Ahmad nyata memeranjatkan pemerhati sukan bola sepak negara apabila Menteri Besar itu mengancam akan menarik penyertaan Terengganu dan T-Team yang beraksi di Liga M.
Sebelum ini, kontroversi membabitkan FAM dan PBSNT bermula apabila Terengganu menandatangani dua pemain import iaitu Francis Forkey Doe dari Liberia dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil berdasarkan surat pekeliling bertarikh 23 Disember yang dikeluarkan FAM kepada negeri pantai timur itu.
Sehari kemudian, FAM menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Azzuddin Ahmad telah memohon maaf ekoran kesilapan teknikal, namun tetap bertegas dua pemain import Terengganu itu tidak boleh beraksi dalam Liga M.
Isu semakin panas apabila Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT) FAM, Hamidin kemudian tampil meminta Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh meminta maaf kepadanya atas beberapa kenyataan pedas yang dikeluarkan bekas Naib Presiden FAM itu.
Yang peliknya, FAM sudah jelaskan segala kekeliruan yang timbul namun, isu tersebut terus berpanjangan sehingga membabitkan campur tangan Menteri Besar Terengganu.
Apa pun, jalan terbaik untuk menjernihkan kekeliruan ini ialah kedua-dua pihak perlu menggunakan budi bicara agar sukan bola sepak negara terus menikmati keharmonian.
PBSNT berdiam diri
ENGGAN dihimpit lebih banyak kontroversi, Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu (PBSNT) mengambil sikap berdiam diri berhubung kenyataan keras yang disuarakan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said ke atas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kelmarin.
Malah Presiden PBSNT, Datuk Che Mat Jusoh juga enggan memberikan sebarang kenyataan kerana menganggap isu tersebut telah disuarakan sendiri pemimpin tertinggi Terengganu.
"Tiada komen daripada saya. Kita tunggu dahulu dan lihat apa perkembangan selanjutnya," kata Che Mat.
Jelas beliau lagi, biarlah isu berke- naan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia telah melibatkan pendirian daripada kerajaan negeri.
"Kerajaan negeri telah mengeluarkan kenyataan berhubung isu ini kita tunggu sahaja," ujarnya lagi.
Kelmarin, kontroversi melibatkan PBSNT dan FAM berlanjutan dengan campur tangan Menteri Besar Terengganu yang mengancam akan menyaman badan induk bola sepak negara itu ekoran isu pemain import yang timbul sejak beberapa minggu lalu.
Lebih buruk daripada itu, Ahmad turut bertegas bahawa kerajaan negeri sedia menarik balik penyertaan Terengganu dan T-Team dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) seandainya perkara tersebut gagal diselesaikan.
Antara perkara yang dibangkitkan Ahmad adalah tuntutan ganti rugi serta memberi kebenaran kepada dua pemain import Terengganu iaitu Francis Forkey Doe (Liberia) dan Erison Da Silva Santos Carnieto dari Brazil untuk beraksi.
- KOSMO!