Kembar Siam masih di hospital ekoran keluarga tidak mampu
KUALA TERENGGANU 24 Jan. - Sejak dilahirkan empat bulan lalu, pasangan kembar Siam, Nur Shazwanie Zulkifli dan Nur Shazrinie sehingga kini terpaksa menjalani kehidupan di hospital.
Puncanya, ibu dan ayah mereka masih tidak mampu menyediakan rumah yang selesa mengikut spesifikasi ditetapkan agar tidak menjejaskan kesihatan kerana mereka masih memerlukan penjagaan rapi.
Ibu bayi itu, Noraini Mohamad, 32, terkilan kerana keadaan masih menjarakkannya dengan anak-anak dan memaksanya berulang-alik ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di sini untuk melihat mereka.
Katanya, keinginan untuk membawa pulang pasangan kembar itu membuak-buak apatah lagi mereka kini sudah mampu bergerak dan tersenyum apabila disentuh dan dibelai.
"Gembira dapat tengok keletah mereka yang kadang-kadang mencuit hati. Bayangkan kalau dapat tengok pergerakan mereka setiap masa," jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurut Noraini, pihak hospital telah membenarkan pasangan kembar itu dibawa pulang namun keadaan rumah mertua di Kuala Ibai di sini, tempat dia menumpang tinggal dianggap tidak sesuai.
Katanya, dia kini berusaha untuk mencari sebuah rumah yang selesa di sekitar bandar ini untuk disewa namun kebanyakan harga yang ditawarkan agak tinggi dan di luar keupayaan suaminya.
"Memang ada hasrat hendak membina rumah baru, namun perlu ada RM40,000 hingga RM50,000 dulu. Masalahnya kami memang tidak ada duit sebanyak itu.
"Kalau ada rumah yang sesuai pun, sewanya pula terlalu tinggi sekitar RM400 hingga RM500 sebulan dan kami memang tidak mampu," katanya.
Sebelum ini katanya, dia menyewa bersama ibunya di Kampung Padang, Gong Pak Maseh dekat sini namun telah berpindah ke rumah ibu mertuanya di Kuala Ibai.
"Kami perlu menyewa sebuah rumah yang selesa dan persekitaran bersih, diperbuat daripada batu dan mempunyai siling bagi melindungi kembar itu yang sensitif kepada persekitaran.
"Rumah ibu saya rumah papan manakala rumah mertua pula tiada siling menyebabkan pihak hospital enggan memberikan kebenaran.
"Jadi saya bercadang untuk membawa mereka tinggal di Kemaman memandangkan suami saya menjual ikan di sana dan berharap kerajaan negeri dapat membantu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin atau rumah kos rendah dengan kadar sewaan yang kecil," ujarnya.
Bayi yang dilahirkan seberat empat kilogram pada 22 september tahun lalu itu bercantum pada bahagian pusat hingga dada dan pemeriksaan awal pihak hospital mendapati mereka berkemungkinan berkongsi hati dan jantung.
Kerajaan negeri sebelum ini dilaporkan akan membiayai kos pembedahan jika diperlukan untuk memisahkan mereka kelak.
- UTUSAN