Samsung perkenal Galaxy Nexus
Oleh NAZRUL AZIM SHARUDDIN
TERUS mempelbagaikan produk telekomunikasinya, Samsung Electronics Co. Ltd. (Samsung) bersama syarikat enjin carian popular, Google baru-baru ini telah memperkenalkan gajet terkini keluaran mereka, Galaxy Nexus
Model telefon bimbit pintar pertama di dunia mengaplikasi sistem operasi Android 4.0 Ice Cream Sandwich itu dilengkapi spesifikasi pacuan pemproses dwi teras 1.2 GHz serta skrin definisi tinggi (HD) Super AMOLED 4.65 inci beresolusi 720p.
Menurut Pengarah Urusan Samsung Malaysia Electronics, Kwon Jae Hoon, kerjasama pihaknya bersama Google bermatlamat menyediakan para pengguna dengan pengalaman mobiliti moden dan termaju.
''Samsung akan terus melangkah ke hadapan bersama Android dalam memperkasakan lagi dunia mobiliti kami.
''Untuk platform Android 4.0, ia diharap dapat menawarkan inovasi teknologi lebih segar kepada para peminat gajet,'' katanya.
Secara asasnya, Android 4.0 disempurnakan bersama aplikasi termaju yang ditambah nilai merangkumi fungsi pelbagai, sokongan Wi-Fi Hotspot dan pelayaran web menyeluruh.
Lebih menarik lagi, ia boleh disepadukan bersama sistem storan cloud untuk penyimpanan e-mel, maklumat dan pelbagai lagi data.
Untuk capaian Android Market pula, pengguna boleh mencapai sehingga lebih 300,000 jenis aplikasi dan permainan video.
Pengguna Galaxy Nexus juga bakal mendapat kelebihan menjadi orang pertama menerima informasi berkaitan perisian-perisian baru yang diperkenalkan Google.
Daripada segi binaan rangka, model itu mempunyai ketebalan 8.94 milimeter (mm) dan dibina dengan reka bentuk melengkung yang ergonomik untuk kemudahan kawalan di tapak tangan.
Samsung Galaxy Nexus telah pun memasuki pasaran Malaysia pada pertengahan Januari lalu dengan tawaran harga RM2,099 dan boleh dibeli menerusi rakan niaga Samsung Elite Partners (SEP), Celcom dan DiGi.
Maklumat lanjut mengenainya, sila layari laman web www.samsung.com/my
- UTUSAN