Syahamah mengaji al-Quran setiap hari


SYAHDU dan mententeramkan. Dua perasaan itu pasti terbit daripada lubuk jiwa sesiapa sahaja yang mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun itu.

Raut wajahnya cukup tenang, tiada sekelumit resah timbul tatkala melagukan ayat-ayat al-Quran yang dibacanya. Bagi mencapai tahap tersebut, Nurussyahamah Taqiah Nurunnajmi perlu akur bahawa zaman kanak-kanaknya tidak pernah serupa dengan sahabat-sahabatnya yang lain.

Sejak berumur empat tahun, dia yang selesa dipanggil Syahamah diasuh mengenali huruf-huruf dalam kitab al-Quran. Pada usia enam tahun, Syahamah berjaya khatam al-Quran secara bertajwid.

Menguasai teknik berlagu pada umur lapan tahun, Syahamah tidak pernah rasa terpaksa sepanjang tempoh pembelajaran al-Quran yang kini telah meletakkannya sebagai qariah muda kebanggaan negara.

"Saya mengaji hari-hari dan pada waktu cuti sekolah, saya akan mengaji sebanyak dua atau tiga kali sehari. Bagi saya, mengaji al-Quran tidak susah jika kita benar-benar menjiwainya,'' kata Syahamah ketika ditemui baru-baru ini.

Syahamah juga tidak lokek berkongsi tip untuk menjadi qariah yang baik. Seseorang itu katanya, perlu tahan dengan cabaran dan perlu belajar bersungguh-sungguh. Pada peringkat awal belajar al-Quran, dia juga pernah menangis sebab dimarahi bapanya kerana tidak dapat membaca dengan betul. Bapanya merupakan seorang guru mengajinya.

Kebolehan Syahamah sebagai qariah terbit selepas dia berjaya menjadi johan untuk pertandingan tilawah al-Quran peringkat negeri Terengganu pada tahun 2007 dan 2008.

Detik itu menjadi permulaan buat anak kedua daripada empat beradik itu untuk terus menempa nama sehingga berjaya mendapat gelaran naib johan pada pertandingan tilawah al-Quran peringkat kebangsaan pada tahun 2010.

Kemuncak karisma Syahamah selaku qariah muda terlihat apabila beliau menjadi wakil tunggal negara ke Pertandingan Akhir Tilawah Al-Quran Kanak-Kanak Peringkat Antarabangsa di Doha, Qatar, pada Ogos tahun lalu.

Daripada 63 peserta di seluruh dunia, Syahamah terpilih dalam kelompok tiga terbaik bagi bersaing pada peringkat akhir. Pertandingan itu dianjurkan oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Qatar dengan kerjasama saluran kanak-kanak stesen televisyen, Al-Jazeera.

Walaupun memenangi tempat ketiga, Malaysia perlu berbangga kerana Syahamah menjadi satu-satunya peserta perempuan pada peringkat akhir tersebut.

Sebelum terbang ke Doha, Syahamah terlebih dahulu melancarkan bacaan al-Qurannya dengan bergurukan johan Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa 1999, Che Yahya Che Daud di Kota Bharu, Kelantan.

Dalam kesibukan masyarakat bercerita kejayaan Syahamah, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah, Jerteh, Terengganu itu bercita-cita menjadi seorang doktor.

"Saya mahu membantu orang ramai sekiranya suatu hari nanti saya berjaya bergelar seorang doktor," ujarnya yang kelihatan sedikit malu saat ditemu ramah.

Walaupun Syahamah tidak seperti kanak-kanak lain yang memenuhi masa lapang mereka untuk bermain, beliau mempunyai alternatif tersendiri bagi menghiburkan dirinya.

"Membaca buku cerita dan berenang merupakan aktiviti kegemaran saya. Selain itu, jika ada kelapangan, saya suka melayari internet dan berhubung dengan rakan-rakan di laman sosial Facebook serta menonton video-video menarik di YouTube," jelasnya yang juga merupakan salah seorang peserta program Adik-Adikku yang akan disiarkan di TV1.

Tidak banyak kerenah dan mudah diuruskan, bapa Syahamah, Nurunnajmi Yaacob, 40, memberitahu, anaknya itu sangat mendengar kata dan mempunyai karakter yang sedikit berbeza berbanding anak-anaknya yang lain.

"Syahamah agak pendiam dan pemalu, tetapi dia bukan jenis pendiam tidak bertempat. Sekiranya dia ada sebarang masalah, dia akan berterus-terang cuma dia tidak petah bercakap.

"Biarpun pendiam, dia tidak segan mewakili sekolahnya dalam pertandingan pidato dan apabila berada di atas pentas, dia seperti menjadi orang lain," kata guru Pendidikan Islam di Sekolah Kebangsaan Seri Payung, Besut, Terengganu itu.

Dulu pendiam

Tambah Nurunnajmi, personaliti Syahamah yang dahulunya lebih suka berdiam diri kini berubah sedikit demi sedikit selepas penglibatannya dalam program Adik-Adikku anjuran RTM.

Dalam program tersebut, Syahamah banyak didedahkan dengan teknik-teknik berkomunikasi dengan betul dan mendedahkan dirinya untuk bergaul dengan orang ramai.

Ibu kepada Syahamah, Sauzan Ibrahim, 39, pula menyifatkan anaknya itu seorang yang sangat bertanggungjawab dan berdisiplin dalam menguruskan diri.

Menurut Sauzan, Syahamah tahu tugasnya sebagai pelajar. Walaupun letih selepas memenuhi jemputan tilawah, dia pastikan melunaskan kerja-kerja sekolahnya sebelum ke sekolah keesokan harinya.

Buktinya, jika Syahamah benar-benar letih dan tahu kerja sekolahnya masih belum disiapkan, dia akan berpesan kepada ibu dan bapanya supaya mengejutkannya pada pukul 3 atau 4 pagi untuk menyudahkan tugasannya.

"Begitu juga dengan kelas tambahan, kadang-kadang kami beri dia kebenaran untuk dia tidak pergi ke kelas tersebut jika dia terlalu letih, tapi dia tetap ingin pergi.

"Syahamah bijak mengimbangi hidupnya sebagai pelajar sekolah dan memenuhi jemputan tilawah walaupun dia masih muda," ujar guru Matematik di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah, Alor Keladi, Besut itu.

Bakat pidato Syahamah juga tidak menghampakan biarpun dia baru sahaja berjinak-jinak dalam lapangan itu ketika berada di Tahun Enam.

"Pada masa itu, cikgu mencari sukarelawan yang mahu mewakili sekolah dalam pertandingan pidato, saya dengan rela hati menawarkan diri," jelasnya yang memiliki kehendak kuat terhadap sesuatu yang digemarinya dan akan bersungguh-sungguh melakukannya.

- KOSMO!
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url