Tiga kereta jimat bahan api


TIGA kereta nasional, PERODUA Myvi, PROTON Saga dan PROTON Inspira meraih Anugerah Kecekapan Bahan Api 2011 Asian Auto AmBank dalam kategori berlainan.

PERODUA Myvi 1.3 baru memenangi anugerah itu di bawah kategori kereta kompak bandar kerana kecekapan bahan api 6.2 liter bagi setiap 100 kilometer (km) perjalanan, PROTON Saga 1.3 (M) bagi kategori keluarga kecil (enam liter bagi setiap 100km) dan PROTON Inspira 2.0 bagi kategori kereta keluarga mewah (6.2 liter bagi setiap 100km).

Ketua Eksekutif Proton Edar, Ahmad Suhaimi Mohamed Anuar, dan Pengarah Eksekutif Perodua, Zainal Abidin Ahmad, masing-masing menerima anugerah itu daripada Ketua Eksekutif AmIslamic Bank Berhad, Datuk Mahdi Murad , dan Pengarah Sapporo Malaysia, Lim Chee Yeang, pada satu majlis di Kuala Lumpur, malam kelmarin.

AmBank adalah penaja utama bagi anugerah automotif tahunan itu yang memberikan pengiktirafan kepada jenama kereta yang menawarkan kenderaan paling cekap bahan api dalam kategori masing-masing di Malaysia.

Program anugerah tahunan yang pertama seumpamanya di Malaysia itu menggalakkan pengeluar kereta menawarkan kenderaan berkualiti dengan teknologi dan kejuruteraan terbaru yang menggalakkan kecekapan bahan api.

Pengarah Urusan AmBank (Perbankan Runcit), Datuk Mohamed Azmi Mahmood, dalam ucapannya berkata, sebagai syarikat pembiayaan pembelian automotif di negara ini, AmBank sentiasa sedia menemui pelanggan dan memenuhi keperluan mereka dalam pembelian kenderaan dan insurans.

“Anugerah seperti ini sejajar dengan usaha kami untuk menyokong pelanggan kami membuat pilihan dan keputusan yang lebih baik,” tegasnya.

Sejumlah 34 syarikat kereta mengambil bahagian untuk merebut 54 anugerah yang ditawarkan dalam 18 kategori pada acara yang diadakan bagi tahun keempat itu.
Mercedes-Benz C-Class 200 CGI, Volvo S60 1.6 Turbo dan Audi A4 1.8T memenangi anugerah berkenaan di bawah kategori kereta eksekutif.

– BERNAMA
Next Post Previous Post
No Comment
Add Comment
comment url