Awasi penagih judi internet
Ia melibatkan kerosakan psikososial yang lebih dahsyat sehingga boleh menjejaskan kehidupan dan masa depan seseorang.
Ia tidak seperti berjudi di kasino yang melibatkan pertaruhan wang ringgit terhadap keputusan sesuatu permainan tetapi menggunakan komputer peribadi yang telah dijaringkan ke Internet.
Pertaruhan boleh dibuat di rumah atau kafe siber.
Jenis permainannya terbahagi kepada;
1. Permainan pertaruhan elektronik berkonsepkan kebarangkalian rawak dengan sesuatu pertaruhan dilihat boleh memberi pulangan berganda atau tidak mengikut susunan algoritma yang disimpan di dalam papan litar sirkit, cip elektronik atau CD-ROM. Pertaruhan biasanya mengikut jumlah payline seperti permainan mesin slot.
2. Permainan pertaruhan elektronik secara langsung seperti permainan roulette atau baccarat.
Pertaruhan biasanya di buat melalui pengusaha kafe siber atau menggunakan kad kredit di laman web perjudian tersebut.
Di Malaysia, ketagihan judi Internet biasanya menjadi masalah dalam kalangan orang dewasa.
Pelbagai undang-undang seperti penguatkuasaan had umur dan sebagainya telah dibuat untuk mengelakkan masalah menular kepada remaja dan pelajar sekolah.
Bagaimanapun, kewujudan pusat pertaruhan Internet di kafe siber menunjukkan konsep perjudian berkenaan sudah mula diperkenalkan kepada anak-anak muda di sini.
Senario berkenaan memang membimbangkan kerana kajian Yayasan Annenberg di Amerika Syarikat (AS) menunjukkan lebih kurang 600,000 remaja berumur 14 hingga 22 tahun mengaku berjudi di Internet setiap minggu.
Dari segi perubatan psikiatri, ketagihan berjudi di Internet tidak jauh bezanya dengan ketagihan dadah atau alkohol.
Menurut klasifikasi DSM-IV oleh American Psychiatric Association (1994) masalah ketagihan berjudi tergolong dalam jenis penyakit mental yang dinamakan impulse control disorder dan pesakit sekurang-kurangnya mempunyai lima daripada ciri berikut:
1. Mempunyai ingatan sangat kuat untuk berjudi.
2. Sentiasa meningkatkan jumlah pertaruhan untuk memenangi wang lebih besar atau menebus kekalahan berjudi.
3. Kerap gagal untuk berhenti atau mengurangkan aktiviti perjudian.
4. Menjadi resah dan mudah marah apabila cuba untuk berhenti.
5. Berjudi untuk menyelesaikan masalah kewangan atau berharap untuk menghiburkan hati hasil wang kemenangan.
Apabila kalah dalam pertaruhan, mereka akan cuba menebusnya dengan berbohong kepada ibu-bapa, pasangan atau doktor untuk menutup segala kemudaratan disebabkan berjudi. Mereka juga sanggup melakukan aktiviti haram untuk mengganti wang pertaruhan seperti menipu, menerima rasuah dan mencuri.
Akibatnya berlaku keruntuhan rumah tangga, rosaknya hubungan keluarga, kerjaya dan pelajaran.
Penagih judi Internet terpaksa bergantung dengan orang lain untuk menampung kekurangan wang yang disebabkan oleh kemudaratan aktiviti perjudian.
Ketagihan judi di Internet sebenarnya berkongsi laluan yang sama seperti ketagihan dadah dalam merangsang pusat otak melalui neurotransmitter yang dipanggil dopamine dan adrenaline.
Setiap kali menang dalam sesuatu pertaruhan, mereka akan merasakan kenikmatan tidak terhingga (fenomena adrenaline rush) yang menyebabkan kerap teringat-ingat dan terus mencari kenikmatan tersebut di dalam pertaruhan seterusnya.
Kenikmatan ini bagi mereka melebihi kenikmatan seks semasa ejakulasi.
Pengulangan aktiviti berkenaan secara berterusan akan menyebabkan ciri penagihan tegar dan kehancuran kehidupan.
Pesakit yang mengalami ketagihan judi di Internet juga didapati mempunyai masalah mental yang lain seperti kemurungan, kerisauan melampau dan obsessive compulsive disorder (OCD).
Kira-kira 20 peratus daripada mereka pernah cuba membunuh diri atau mempunyai keinginan untuk membunuh diri pada satu-satu masa sepanjang perjudian mereka.
- UTUSAN