Debat secara beradab, beretika elak dipengaruhi emosi
ISU UNTUK berdebat dan cabar-mencabar semakin menjadi-jadi, terutama dalam usaha meraih populariti kumpulan mahupun peribadi. Cabaran untuk berdebat ini biasanya timbul apabila berdepan dengan pertembungan idea dan pendekatan dalam menangani sesuatu perkara. Dalam bahasa Arab disebut sebagai ikhtilaf.
Pada asasnya istilah ini merujuk kepada perbezaan pendapat terhadap sesuatu perkara. Dalam erti kata lain setiap orang mengambil yang berbeza sama ada dalam perkataan mahupun pendapat. Ikhtilaf juga memberi erti tidak sama. Oleh itu, setiap yang tidak sama dikatakan ikhtilaf, sementara khilaf ialah pertentangan atau berlawanan.
Harus diakui manusia memang berbeza pandangan, pendirian dan bebas membuat penafsiran terhadap sesuatu yang dirasakan benar baginya tetapi ketika yang sama, manusia diberi akal dan iman untuk mempertimbangkan ilmu secara beradab. Firman Allah yang bermaksud: “Serulah ke jalan Tuhanmu wahai Muhammad dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang lebih baik.” (Surah al-Nahl, ayat 125).
Risalah al-Mustarsyidin menggariskan 10 adab untuk berdebat iaitu tidak berada dalam keadaan marah, tidak cuba mencari masalah, tidak membanggakan diri, jangan menghukum, jangan ketawa, jangan menjadikan dakwaan sebagai dalil, apabila anda mendatangkan dalil, tujuan daripadanya adalah mencari kebenaran, apabila anda menggunakan akal, gunakanlah ia sebagai untuk menerangkan sesuatu, hendaklah anda menjadikan kebenaran berharga untuk umat Islam dan usah mencari kemenangan sebagai tujuan utama (dalam berdebat) dan yang akhir sekali janganlah anda berpaling kepada orang lain sewaktu pihak kedua sedang bercakap dengan anda.
Ertinya, penjagaan akhlak dan kesopanan amat dititikberatkan seandainya berlaku perdebatan. Saidina Ali Abi Talib pernah berkata: “Petunjuk sebaik-baik pemimpin, akhlak yang baik sebaik-baik teman, akal sebaik-baik sahabat dan adab sebaik-baik peninggalan (Kitab: al-Adab Islamiyyah Li an-Nasyiah).
Sesungguhnya akhlak dan adab ini akan menjaga diri kita daripada terjerumus ke dalam lembah kebinasaan dan kehancuran. Lebih-lebih lagi jika kita sangat inginkan perbahasan ilmu yang mempunyai khilaf padanya. Dengan mempelajari adab maka tenanglah hati menghadapinya.
Debat kalau berlaku mestilah secara beretika dan halus budi bahasanya. Setiap patah kata dalam ungkapannya dapat menjadi contoh mereka yang mencintai kebenaran. Tetapi sayang, sebahagian daripada pendebat sekarang menyimpang jauh daripada panduan kerana debat mereka untuk mencari pengaruh dan kemenangan, sedangkan debat yang dicadangkan ialah untuk mencari jalan yang lurus. Oleh itu, berhujah untuk memburukkan lawan, pelbagai kata kasar dan nista dihambur keluar akan memburukkan keadaan Dibimbangi keburukan demi keburukan orang didedah dan diaibkan melalui kata-kata.
Ramai yang suka bertikam lidah apabila berlaku perselisihan pendapat. Kadangkala timbul keadaan menyerang, menentang dan saling mencela antara mereka. Rasulullah SAW bersabda: “Aku ialah pemimpin di sebuah tempat di syurga bagi orang yang meninggalkan perdebatan walaupun dia benar.” (Riwayat Abu Daud).
Cucunda Rasulullah SAW, Saidina Hussain berkata, seseorang yang menceritakan keburukan orang lain di hadapanmu, jadi dia akan menceritakan keburukanmu (juga) pada orang lain. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa mampu menjaga apa yang ada antara dua janggut dan apa yang ada di antara dua kaki, maka aku jamin dia masuk syurga. (Hadis riwayat Sahl bin Sa'ad)
Apabila seseorang memahami dan mengerti bahawa setiap perkataan diucapkan melalui lidahnya akan dihisab dan dibalas maka dia akan tahu untuk menjaga lidahnya, menjaga tutur katanya dan mempertimbangkan dengan teliti sebelum berkata-kata.
Termasuk dalam adab menjauhi perdebatan ialah berwaspada seandainya sesuatu perbincangan yang dimulakan dengan adab Islam akan berubah menjadi satu perdebatan yang dibina atas dasar keangkuhan. Oleh itu hendaklah sentiasa prihatin kepada tanda-tanda yang bakal mengubah satu perbincangan kepada perdebatan, seperti sikap berlemah lembut mula berubah kepada perkataan yang kesat, bahasa yang kasar, nada yang tinggi dan gerak badan yang mengancam, manakala format perbincangan berubah daripada ilmiah kepada emosi.
Cara penuturan seseorang memudahkan kita mengenali watak ahli pendebat. Bahasa yang terhambur keluar melalui lidah yang tidak bertulang amat membahayakan kerana tajamnya melebihi sembilu. Justeru, jangan biarkan lidah itu lebih cepat daripada akal dalam menuturkan kata-kata. Apalagi apabila akal gagal mengawal tutur katanya menyebabkan apa yang terkeluar itu menjadi zarah amarah dan nafsu semata-mata.
Rasulullah SAW pernah mengumpamakan lidah itu sebagai kunci segala perkara, yakni perkara baik dan buruk. Sabda Baginda kepada Muaz bin Jabal yang bermaksud: “Mahukah engkau aku beritahukan mengenai kunci semua perkara ini? Aku (Muaz) menjawab: Mahu wahai Rasulullah SAW. Lalu Baginda SAW memegang lidahnya dengan berkata: Awas, jagalah ini (lidah) baik-baik. Aku (Muaz) pun berkata pula: Wahai Rasulullah SAW, apakah kami akan dituntut atas tutur kata kami? Lalu Baginda SAW menjawab: Moga-moga Allah memelihara engkau. Tiada lain yang akan menjerumuskan manusia menerusi muka atau batang hidungnya ke dalam neraka, melainkan tutur katanya sendiri.” (Hadis riwayat al-Tirmizi).
- BERITA HARIAN